Kenal tak lama tapi usia perkahwinan cecah 33 tahun

JOHOR BAHRU - Perkenalan bersama pasangan dalam tempoh singkat bukan penghalang untuk seorang wanita tempatan mendirikan rumah tangga bersama lelaki warga asing.
Suri rumah, Rus Sakinah Shahidon, 59, berkata, dia bersama suami, Nabil Mabrouk, 75, mendirikan rumah tangga pada 1992 yang kini sudah memasuki usia 33 tahun.
"Saya memilih berkahwin dengan suami yang berasal dari Mesir itu kerana saya percaya jodoh itu ditentukan ALLAH SWT. Pertemuan saya dengan pasangan sebenarnya diaturkan oleh bapa saudara sendiri.
"Alhamdulillah, dari awal pertemuan kami, keluarga semua menerima suami dengan baik," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Mengulas lanjut, Rus Sakinah memaklumkan, suaminya merupakan pensyarah Bahasa Arab di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) sebelum dan kini sudah bersara.
Dalam pada itu, dia berkata, sepanjang tempoh perkahwinan bertolak ansur dan komunikasi dengan baik merupakan tips untuk rumah tangga kekal bahagia.
Ujarnya, gaduh atau salah faham dalam perkahwinan itu perkara biasa tetapi perlu diselesaikan dengan baik.
"Tipulah jika sepanjang perkahwinan tiada ujian, tetapi alhamdulillah sikap toleransi dan sentiasa berkomunikasi dengan baik menjadi kunci rumah tangga kekal hingga kini.
"Anak-anak pun sudah dewasa, berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun dan semuanya sudah berkahwin, manakala yang bongsu akan mendirikan rumah tangga pada Mei ini," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

