Lelaki keluar menjala ikan ditemukan lemas, disyaki dibaham buaya

Seorang lelaki yang keluar menjala ikan di tebing Sungai Nyigu lewat petang semalam dan gagal pulang ke rumah ditemukan lemas serta dipercayai dibaham buaya di sungai berkenaan, pada Selasa. Gambar hiasan
Seorang lelaki yang keluar menjala ikan di tebing Sungai Nyigu lewat petang semalam dan gagal pulang ke rumah ditemukan lemas serta dipercayai dibaham buaya di sungai berkenaan, pada Selasa. Gambar hiasan
A
A
A

BINTULU - Seorang lelaki yang keluar menjala ikan di tebing Sungai Nyigu lewat petang semalam dan gagal pulang ke rumah ditemukan lemas serta dipercayai dibaham buaya di sungai berkenaan, pada Selasa.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pasukan mencari dan menyelamat telah menemukan mayat mangsa, David Gira, 49, pada jam 2.32 petang.

Beliau berkata, mayat mangsa ditemukan kira-kira 1.8 kilometer dari lokasi kejadian, ke arah hilir sungai dari tempat mangsa meletakkan motosikalnya.

"Mangsa dikhuatiri dibaham buaya semasa menjalankan aktiviti menjala ikan di tebing Sungai Nyigu kerana terdapat kesan gigitan pada badannya,” katanya dalam satu kenyataan petang Selasa.

Menurutnya, pengecaman serta pengesahan mayat telah dibuat oleh ahli keluarga mangsa sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Pada jam 5.30 petang semalam, mangsa telah keluar menjala ikan di sungai berhampiran rumah pekerja di Borneo Shipping Timber Agencies Sdn Bhd.

Bagaimanapun, mangsa dilaporkan tidak pulang ke rumah sehingga isterinya membuat laporan polis mengenai kehilangan suaminya.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang lelaki warganegara Indonesia maut apabila lori yang dipandunya terbabit dalam kemalangan kendiri di hadapan kilang Daiken, Kidurong pada jam 4.30 petang ini.

Artikel Berkaitan:

Menurut jurucakap PGO, mangsa, Muhamad Arif, 50, tersepit di tempat duduk pemandu dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).

Pasukan bomba kemudiannya mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan penyelamat sebelum menyerahkan mayat kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!