Yayasan Bank Rakyat, UKKM jalin kerjasama, tingkat modal insan

YAYASAN Bank Rakyat (YBR) memeterai satu Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) bagi meningkatkan modal insan negara.
MoU tersebut ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani dan Naib Canselor UKKM, Profesor Datuk Dr Azali Mohamed yang disaksikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick, Pengerusi YBR, Datuk Philip Benedict dan Pengerusi UKKM, Datuk Wira Dr Rosli Mat Hassan.
Dalam pada itu, Ewon berkata, YBR telah memperuntukkan RM4.08 juta untuk tempoh tiga tahun bagi menaja biasiswa untuk pelajar terpilih.
“Jalinan kerjasama ini bermula dari tahun 2025 sehingga 2027. Seramai 35 orang pelajar UKKM setiap tahun akan menerima penajaan biasiswa ini.
“Kerjasama ini juga bertujuan bagi membuka peluang kepada pelajar yang berminat dalam bidang keusahawanan dan pengurusan koperasi untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Diploma dan Ijazah Sarjana Muda di UKKM,” katanya kepada pemberita di Menara Kembar Bank Rakyat di sini pada Selasa.

Hadir sama, Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud dan Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Datuk Rusli Jaafar.
Menurut Ewon, MoU ini bertujuan untuk menyokong usaha dalam meningkatkan sosioekonomi negara melalui pendidikan.
“Usahasama antara YBR dan UKKM ini juga akan menjadi motivasi serta pembakar semangat kepada pelajar untuk memartabatkan bidang koperasi dan keusahawanan sebagai agen perubahan.
“Semoga inisiatif ini menjadi salah satu komponen penting dan strategik dalam memacu negara ke arah mencapai status negara maju dan makmur,” katanya.
Sementara itu, Philip berkata, kerjasama tersebut juga selari dengan inisiatif YBR untuk membantu pelajar yang berpotensi mendapat pendidikan sama rata dan bersesuaian dengan visi serta objektif penubuhannya.
“Ia adalah untuk membantu masyarakat Malaysia yang kurang berkemampuan dalam melanjutkan pengajian dalam bidang pendidikan.
“YBR akan sentiasa menyokong ekosistem koperasi dan keusahawanan yang holistik, kondusif dan inklusif bagi menyokong agenda pembangunan sosioekonomi negara ke arah sebuah keusahawanan yang terancang dan persepadu,” kata beliau.
Semenjak tahun 2008 sehingga 2024, seramai 7,468 pelajar telah ditawarkan Pembiayaan Pendidikan Boleh Ubah (PPBU) YBR dengan jumlah peruntukan sebanyak RM212.43 juta.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!