Lebih banyak mayat ditemukan di bawah runtuhan di Gaza

ANKARA - Pasukan perubatan dan penyelamat Palestin menemukan sembilan lagi mayat daripada runtuhan di Semenanjung Gaza, menjadikan jumlah keseluruhan korban akibat perang genosid Israel sejak Oktober 2023 meningkat kepada 48,284 orang, menurut Kementerian Kesihatan pada Isnin.
Menurut laporan Anadolu Ajansi (AA), kenyataan kementerian itu turut memaklumkan bahawa jumlah berkenaan termasuk empat rakyat Palestin yang terbunuh akibat tembakan tentera Israel dalam tempoh 24 jam lepas.
Kementerian itu juga melaporkan seramai 16 lagi mangsa cedera dimasukkan ke hospital, menjadikan jumlah keseluruhan yang cedera akibat serangan Israel meningkat kepada 111,709 orang.
"Masih ramai mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan dan di jalanan kerana pasukan penyelamat tidak dapat mengakses mereka," menurut kenyataan itu.
Perjanjian gencatan senjata telah berkuat kuasa di Gaza sejak 19 Januari, sekali gus menghentikan sementara serangan Israel yang menyebabkan kemusnahan besar dan meninggalkan enklaf Palestin dalam runtuhan.
Walaupun gencatan senjata, pihak berkuasa tempatan Gaza melaporkan pelanggaran gencatan senjata hampir setiap hari oleh tentera Israel.
Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) telah mengeluarkan waran tangkap pada November tahun lalu terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya Yoav Gallant atas jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel juga berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung peperangan di wilayah itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!