Hadiah bermakna buat Marsha

Marsha tidak dapat menahan sebak sebaik diumumkan sebagai juara AJL39. Foto TV3
Marsha tidak dapat menahan sebak sebaik diumumkan sebagai juara AJL39. Foto TV3
A
A
A

KEMENANGAN di pentas Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) menjadi hadiah paling bermakna buat penyanyi berbakat besar, Marsha Milan.

Setelah 20 tahun berkecimpung dalam industri seni, trofi kemenangan ini bukan sekadar pengiktirafan, tetapi juga simbol kepada perjalanan penuh cabaran yang ditempuhinya selama ini.

Menyifatkan Hening Rindu bukan sekadar sebuah lagu, tetapi karya yang sarat dengan emosi dan kenangan peribadi.

Jelasnya, lagu tersebut mengingatkan dirinya kepada insan tersayang yang telah tiada dan turut mencerminkan situasi yang dihadapi oleh ramai orang di luar sana.

“Trofi ini sangat berharga. 20 tahun dalam industri bukan satu perjalanan yang mudah. Saya tidak meletakkan harapan tinggi, tetapi jauh di sudut hati, saya berharap sesuatu yang baik akan berlaku.

"Tidak sangka akhirnya Hening Rindu dinobatkan sebagai juara,” ujar Marsha yang sebelum ini pernah memenangi trofi Naib Juara di AJL36.

Malah bekas peserta Akademi Fantasia musim ketiga itu mengakui bahawa perjalanan ke pentas AJL bukan sesuatu yang mudah.

Marsha bersama komposer Hening Rindu iaitu Ikhwan (kiri) dan Wan Saleh (kanan). Foto TV3
Marsha bersama komposer Hening Rindu iaitu Ikhwan (kiri) dan Wan Saleh (kanan). Foto TV3

Artikel Berkaitan:

Dalam sebak dan linangan air mata, anak kelahiran Sabah itu berterima kasih kepada rakan seperjuangan iaitu Akim dan Stacy, yang membuka jalan buatnya ke pentas AJL36 menerusi lagu Cinta sebelum ini.

"Terima kasih juga kepada keluarga, syarikat label, para peminat yang tidak pernah berhenti menyokong.

"Kemenangan ini bukan hanya milik saya, tetapi juga milik semua yang sentiasa menyokong saya sejak awal hingga kini," katanya.

Sebelum membuat persembahan, Marsha mengakui dirinya berdepan dengan kesihatan yang kurang memuaskan.

Namun, demi memastikan persembahannya berada pada tahap terbaik, dia terpaksa mendapatkan suntikan bagi mengembalikan suaranya.

"Dari segi mental, persiapan kali ini memberi cabaran besar kepada saya kerana saya tidak mempunyai banyak masa membuat persiapan berbanding penglibatan dalam AJL sebelum ini.

"Alhamdulillah ALLAH permudahkan walaupun saya berdepan dengan masalah suara dua minggu lalu," jelasnya.

Pada malam kemuncak AJL39 yang berlangsung di Axiata Areana, Bukit Jalil pada Ahad, lagu Hening Rindu ciptaan Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh, manakala lirik oleh Ikhwan dinobatkan sebagai juara.

Kemenangan itu menyaksikan Marsha, Ikhwan dan Wan Saleh membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM100,000 berserta trofi.

Lagu kegemaran ramai, Bukan Lagi Kita nyanyian Nadeera Zaini dipilih selaku naib juara AJL39. Karya ciptaan Hael Husaini bersama Iqie Hugh itu membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 berserta trofi.

Dalam pada itu, lagu nyanyian dan ciptaan Akim & The Majistret, manakala lirik oleh Bunga Cantik berjudul Saksama memberi kejutan ramai apabila berjaya memenangi tempat ketiga dan menerima hadiah berupa wang tunai RM30,000 dan trofi.

Barisan pemenang di AJL39. Foto TV3
Barisan pemenang di AJL39. Foto TV3

Sementara itu, Ernie Zakri merampas semula trofi Vokal Terbaik menerusi lagu Aura, manakala Aina Abdul mengekalkan trofi Persembahan Terbaik. Kedua-dua penyanyi itu membawa pulang hadiah wang tunai RM12,000.

AJL39 yang bertemakan Nada Rasa diacarakan oleh Sissy Iman bersama Naz Rahman dan bersiaran secara langsung di TV3 dan strim melalui Tonton.

Penonton turut dihiburkan dengan persembahan istimewa daripada Shiha Zikir, Noki, Wanie Kayrie, Ara Johari, kumpulan Ukay’s dan Sham Visa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!