Hanya 86 aduan rasuah babitkan anggota polis diterima JIPS

IPOH - Hanya 86 aduan rasuah membabitkan anggota dan pegawai polis diterima Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Polis Diraja Malaysia (PDRM), tahun lalu.
Pengarahnya, Datuk Seri Azri Ahmad berkata, jumlah itu bersamaan dengan 1.28 peratus daripada keseluruhan 6,696 aduan dan maklumat berkaitan warga PDRM.

Menurutnya, meskipun kadar kesalahan itu adalah kecil, ia tetap memberikan kesan dan gambaran yang negatif berkaitan situasi integriti warga polis di negara ini.
"Jika dibandingkan dengan kekuatan semasa PDRM iaitu sekitar 125,000 orang dalam satu-satu masa, jumlah aduan dan maklumat rasuah ini adalah sekitar 0.07 peratus sahaja.
"Bagaimanapun perlu diingat, isu rasuah telah memberi kesan mendalam kepada persepsi rasuah dalam PDRM.
"Usaha menangani rasuah dan persepsi rasuah ini oleh semua pihak perlu dibuat dengan lebih agresif," katanya ketika berucap dalam Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Perak di Mes Pegawai Kanan Polis Perak di sini pada Isnin.
Beliau berkata, sepanjang tahun lalu, sebanyak 3,603 kertas siasatan tatatertib dan kertas enkuiri tatatertib telah dibuka ke atas warga PDRM.
Katanya, dalam tempoh sama juga, seramai 1,404 pegawai polis telah dijatuhi hukuman tatatertib dengan 164 orang daripadanya dibuang kerja, 32 orang diturunkan pangkat dan 15 orang turun gaji.
"Lain-lain tindakan tatatertib dikenakan adalah tangguh pergerakan gaji ke atas 16 orang, lucut hak emolumen (122), hukuman denda (256) dan amaran (799).
"Keputusan hukuman tatatertib yang tegas khasnya hukuman buang kerja ini menunjukkan tiada kompromi terhadap mana-mana pegawai polis yang tidak berdisiplin dan memudaratkan masyarakat, pasukan dan negara," katanya.
Pada majlis itu, bekas Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Noor Hisam Nordin dilantik sebagai Ketua Polis Perak baharu berkuat kuasa pada Isnin.
Noor Hisam, 58, menggantikan Datuk Azizi Mat Aris yang bersara pada 8 November tahun lalu.
Sebelum ini jawatan tersebut dipangku Timbalan Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat.
Turut berlangsung serah terima tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Kontinjen Perak yang baharu, Datin Noormawati Abdul Latip.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

