Dua maut, tiga cedera kemalangan berhampiran klinik

PADANG BESAR - Dua warga emas maut manakala tiga lagi cedera dalam satu kemalangan membabitkan dua kenderaan berhampiran Klinik Kesihatan, dekat sini pada malam Sabtu.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah berkata, dua mangsa maut dikenali Eio Siw Kong @ Yeoh Seow Khoon, 75, yang memandu kereta Nissan Sentra dan penumpang kereta itu, Ong Phu Siew, 74, disahkan meninggal dunia di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar.
Menurutnya, siasatan awal mendapati pemandu kereta Nissan Sentra itu sedang membelok ke kanan di sekitar simpang tiga hadapan klinik kesihatan dalam kejadian jam 9.20 malam.
"Tiba-tiba, Proton Waja yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 30 tahun dari arah Padang Besar gagal mengelak dan melanggar bahagian kanan Nissan Sentra.
"Akibatnya, pemandu Nissan Sentra yang merupakan seorang peniaga, serta seorang wanita warga emas yang merupakan penumpang disahkan meninggal dunia akibat cedera parah di bahagian pinggul dan tulang rusuk," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Jelasnya, seorang lagi penumpang wanita dari Nissan Sentra masih menerima rawatan di zon merah HTF manakala seorang lagi dilaporkan mengalami kecederaan ringan.
Menurutnya, pemandu Proton Waja yang merupakan seorang pekerja kedai makan pula tidak mengalami kecederaan serius dan berada di zon hijau hospital berkenaan.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan ini diminta untuk tampil memberi kerjasama.
"Orang ramai juga dinasihatkan agar lebih berhati-hati, terutama di kawasan gelap dan selekoh, serta sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas demi keselamatan bersama," ujarnya.
Tambahnya, Kes tersebut disiasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

