Bekas wartawan Utusan Melayu Muhammad Basir meninggal dunia

KUALA LUMPUR - Bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad, Muhammad Basir Abu Bakar meninggal dunia di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang dekat sini, petang tadi akibat masalah kesihatan kronik.
Adik Allahyarham, Siti Salha Abu Bakar, 40, ketika dihubungi Bernama memaklumkan abangnya yang menghidap penyakit jantung meninggal dunia pada jam 6.45 petang.
"Allahyarham menerima rawatan di hospital kerana mengalami kesakitan dan muntah, hari ini merupakan hari kelapan beliau berada di hospital,” katanya.
Siti Salha berkata jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Taman Taming Jaya, Cheras kira-kira jam 8 pagi esok untuk dikafan dan disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Batu 10, Cheras.
Muhammad Basir, 45, meninggalkan tiga anak berusia 10 hingga 15 tahun manakala isterinya, Nor Azlina Jaafar, yang juga bekas jurufoto Kumpulan Utusan telah meninggal dunia pada 17 Oktober 2023.
Allahyarham juga merupakan antara penerima bantuan Tabung Kasih@HAWANA yang disampaikan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!