'Enam negara telah berkumpul, mereka mahu lemahkan dolar' - Trump

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berkata, usaha BRICS untuk "melemahkan dolar" boleh membawa kesan buruk kepada AS dan dunia, lapor Sputnik/RIA Novosti.
"Anda tahu, itu akan menjadi sesuatu yang amat teruk bagi negara kita. Ia akan memberi kesan buruk kepada dunia. Mereka mahu melemahkan dolar. Enam negara telah berkumpul. Mereka mahu melemahkan dolar," kata Trump kepada pemberita di Rumah Putih, merujuk kepada negara anggota BRICS.
Pada Januari, Trump mengancam untuk mengenakan tarif 100 peratus ke atas semua import dari negara BRICS sekiranya blok itu cuba melancarkan mata wang BRICS baharu atau menyokong mana-mana mata wang lain bagi menggantikan dolar AS.
Laporan sebelum ini menyatakan bahawa negara anggota BRICS telah membincangkan kemungkinan memperluas penggunaan mata wang negara masing-masing dalam urusan pembayaran serta mewujudkan mata wang bersama dalam blok itu, tetapi tiada keputusan muktamad dibuat mengenai perkara berkenaan.
BRICS ialah sebuah blok antara kerajaan yang ditubuhkan pada 2006 oleh Rusia, China, India dan Brazil, dengan Afrika Selatan menyertai pada 2011. Sejak awal 2024, beberapa negara lain turut menyertai BRICS. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!