Karnival Kerjaya MYFutureJobs X SPA tawar temu duga terbuka sektor awam

KUALA LUMPUR - Temu duga terbuka bagi jawatan Pengajar Gred U9 (Juruteknologi Pergigian) buat pertama kalinya ditawarkan sempena Karnival Kerjaya MYFutureJobs (MFJ) X Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) 2025.
Inisiatif ini menunjukkan komitmen SPA dalam meningkatkan jumlah calon berkelayakan menerusi karnival anjuran bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang turut menawarkan 5,000 peluang pekerjaan dalam sektor swasta.
Ketua Bahagian Perkhidmatan Pekerjaan, Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan PERKESO, Gayathri Vadivel berkata, usaha bersama SPA pada kali ini dapat memperluaskan peluang pekerjaan kepada lebih ramai golongan terutama mereka yang memerlukan sokongan dalam mencari peluang kerjaya bersesuaian dengan kelayakan dan minat.
Menurutnya, SPA bukan sahaja menawarkan sesi konsultasi tetapi turut mengadakan saringan dan ujian secara fizikal bermula 15 hingga 16 Februari ini.

“Tawaran bagi jawatan berkenaan tertakluk kepada calon yang memenuhi syarat ditetapkan berdasarkan permohonan pengisian kekosongan di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“SPA juga mengadakan Ujian Pemeriksaan Fizikal Pancaindera dan Kecergasan (UFPK) secara terbuka bagi mengisi kekosongan jawatan Keselamatan dan Pertahanan Awam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau reruai Karnival Kerjaya MFJ X SPA 2025 di Pusat Dadangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini pada Sabtu.
Hadir sama Timbalan Setiausaha (Pengambilan) SPA, Sharenawane Hussin @ Mukhtar.

Tambah Gayathri, sebanyak 35 majikan swasta turut menawarkan pelbagai peluang pekerjaan dari industri pembuatan, perbankan dan perhotelan serta badan berkanun seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sempena karnival kerjaya pada tahun ini.
“Setakat hari ini, hampir 1,500 yang telah hadir dan kami mengalu-alukan pencari kerja di luar sana untuk tidak melepaskan peluang dengan datang ke WTCKL.
“Selain menghadiri temu duga, mereka juga boleh mendapatkan konsultasi berkenaan bidang kerjaya yang sesuai dengan kelayakan dan minat masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Sharenawane berkata, kerjasama strategik antara PERKESO dan SPA membuka peluang kepada pencari kerja awam mengakses jawatan-jawatan kerajaan sekali gus menjimatkan masa dan menangani sebarang karenah birokrasi.
"Ini adalah langkah besar untuk memberi kemudahan kepada pencari kerja dalam mengakses peluang kerjaya dalam sektor awam.
“Justeru, kami menyeru pencari kerja di luar yang masih mencari pekerjaan untuk hadir ke WTCKL pada esok 16 Februari 2025, dari jam 9 pagi hingga 5 petang bagi merebut peluang-peluang pekerjaan yang telah disediakan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!