14 penziarah Kumbh maut kemalangan

Sebuah kereta yang membawa 10 orang dalam perjalanan ke festival Hindu Maha Kumbh di Prayagraj bertembung dengan sebuah bas. Gambar agensi
Sebuah kereta yang membawa 10 orang dalam perjalanan ke festival Hindu Maha Kumbh di Prayagraj bertembung dengan sebuah bas. Gambar agensi
A
A
A

NEW DELHI - Sekurang-kurangnya 14 penganut agama Hindu maut dalam kemalangan jalan raya di negeri Uttar Pradesh dan Gujarat, India.

Sebuah kereta yang membawa 10 orang dalam perjalanan ke festival Hindu Maha Kumbh di Prayagraj bertembung dengan sebuah bas di lebuh raya Mirzapur-Prayagraj di negeri Uttar Pradesh pada Jumaat malam, lapor media tempatan.

Mangsa berasal dari negeri Chhattisgarh, manakala bas berkenaan membawa penziarah dari kawasan Rajgarh di Madhya Pradesh.

"Berita kematian ramai individu dalam kemalangan jalan raya di lebuh raya Mirzapur, Prayagraj, Uttar Pradesh amat menyedihkan. Saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa. Saya berharap agar semua mangsa yang cedera cepat sembuh," kata Presiden India Droupadi Murmu di platform X.

Dalam kejadian berasingan, empat penziarah Kumbh maut dan enam lagi cedera selepas van dinaiki mereka melanggar sebuah lori yang berhenti di daerah Dahod, Gujarat pada Sabtu.

Banyak kemalangan jalan raya membabitkan penziarah telah dilaporkan sejak festival itu bermula.

Puluhan juta orang telah melakukan ritual mandi suci di pertemuan Sungai Gangga dan Yamuna di Prayagraj sejak acara selama 45 hari itu bermula pada 13 Januari. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!