Kuantan 188 Base Jump buka tirai kalendar pelancongan Pahang 2025

Penerjun dari Malaysia membuat terjunan pertama dengan membawa Jalur Gemilang pada cabaran ekstrem Base Jump di Menara Kuantan 188 pada Sabtu.
Penerjun dari Malaysia membuat terjunan pertama dengan membawa Jalur Gemilang pada cabaran ekstrem Base Jump di Menara Kuantan 188 pada Sabtu.
A
A
A

KUANTAN - Acara Kuantan 188 Base Jump bertaraf antarabangsa dijangka menjadi acara tahunan, sekali gus mengukuhkan kedudukan Kuantan sebagai destinasi sukan ekstrem utama di Malaysia.

Exco Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, Leong Yu Man, berkata penganjuran acara ini bukan sahaja mengangkat nama Menara Kuantan 188 sebagai pusat sukan ekstrem bertaraf dunia, tetapi juga memberi impak besar kepada industri pelancongan dan ekonomi negeri.

"Perancangan kita adalah untuk menjadikan acara ini sebagai acara tahunan kerana ia mempunyai potensi besar, bukan sahaja untuk peserta.

"Apabila peserta tiba di sini, mereka bukan sahaja berbelanja dan menyumbang kepada ekonomi tempatan, tetapi juga mempromosikan acara ini melalui media sosial, sekali gus menarik perhatian dunia," katanya.

Yu Man bersama barisan penerjun Base elit dari 13 negara termasuk Malaysia selepas merasmikan cabaran ekstrem Base Jump di Menara Kuantan 188, pada Sabtu.
Yu Man bersama barisan penerjun Base elit dari 13 negara termasuk Malaysia selepas merasmikan cabaran ekstrem Base Jump di Menara Kuantan 188, pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Cabaran Ekstrem Base Jump di Menara Kuantan 188, di sini, pada Sabtu.

Acara bertaraf antarabangsa yang berlangsung dari 13 hingga 17 Februari ini, menghimpunkan 36 penerjun dari 13 negara, termasuk Malaysia, Finland, Indonesia, Filipina, Rusia, Singapura, Sweden, Thailand, United Kingdom, Amerika Syarikat, India dan Perancis.

Yu Man berkata, sebelum ini Kuantan pernah menganjurkan acara base jump, namun ini merupakan kali pertama penganjuran bertaraf antarabangsa dengan sokongan Tourism Malaysia, Tourism Pahang dan kerajaan negeri.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, acara ini juga menjadi pembuka tirai kepada kalendar pelancongan negeri tahun ini.

"Tahun ini, kita menyasarkan lebih banyak acara dengan harapan setiap daerah di negeri ini mempunyai acara pelancongan tersendiri.

"Bandaraya ini sudah mempunyai beberapa acara besar sebelum ini, dan base jump ini menambahkan lagi pengisian untuk menarik lebih ramai pelancong seiring dengan Tahun Melawat Malaysia 2026," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!