Mampukah Sam Wilson tandingi Steve Rogers?

TAYANGAN filem Captain America: Brave New World sememangnya dinantikan oleh peminat Marvel Cinematic Universe (MCU).
Selepas segala kekecohan yang berlaku dalam Avengers: Endgame, Steve Rogers memilih untuk bersara dan memberikan perisai legenda itu kepada Sam Wilson yang turut dikenali sebagai Falcon.
Dalam filem kali ini, Wilson mengalami masalah untuk mengatasi keraguan diri dan mengambil alih peranan besar sebagai Captain America.

Bukan itu sahaja, dalam masa sama, Wilson berdepan dengan pelbagai ancaman termasuk konflik bersama Presiden Amerika Syarikat yang baharu iaitu Thaddeus Ross lakonan Harrison Ford.
Gandingan Anthony Mackie (Sam Wilson) dan Ford sememangnya sesuatu yang berbeza dan menarik.
Perjalanan filem ini bagi penulis ada turun dan naiknya, ada ketika begitu mengasyikkan dengan sentuhan imej janaan komputer (CGI) dan babak pertarungan yang mendebarkan. Namun ada ketika, membuatkan penulis 'sesat' dengan perjalanan ceritanya.

Mungkin bagi anda yang tidak menonton siri The Falcon and the Winter Soldier dan filem Captain America The Winter Soldier sebelum ini, anda mungkin tidak dapat menghadam perjalanan Captain America: Brave New World dengan begitu baik.
Bagaimanapun ia masih sebuah filem yang menarik untuk ditonton, terutamanya bagi mengetahui mengapa Hulk kali ini berwarna merah.

Jangan lupa juga menonton sehingga ke kredit akhir bagi mengetahui filem MCU selepas ini.
Captain America: Brave New World
PENGARAH: Julius Onah
PELAKON: Anthony Mackie, Danny Ramirez, Xosha Roquemore
GENRE: Aksi
DURASI: 2 Jam
KLASIFIKASI: 13
TAYANGAN: 13 Feb 2025
BINTANG: 3.5/5
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

