[VIDEO] 51 warga Indonesia mengaku salah masuk Malaysia guna laluan haram

A
A
A

TELUK INTAN - Seramai 51 warga Indonesia mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Teluk Intan pada Jumaat atas dua pertuduhan memasuki negara ini tanpa dokumen sah dan tinggal lebih masa.

Kesemua tertuduh terdiri daripada 37 lelaki dan 14 wanita berusia lingkungan 22 hingga 59 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Naidatul Athirah Azman.

Mengikut pertuduhan, 24 daripada imigran tersebut didakwa memasuki Malaysia tanpa dokumen yang sah di Pantai Sungai Tiang dekat Rungkup dalam daerah Bagan Datuk, kira-kira jam 4.30 pagi pada 2 Februari 2025.

Kesemua tertuduh terdiri daripada 37 lelaki dan 14 wanita membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Naidatul Athirah Azman.
Kesemua tertuduh terdiri daripada 37 lelaki dan 14 wanita membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Naidatul Athirah Azman.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan dihukum mengikut Seksyen 6(3) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali, serta sebatan tidak lebih enam sebatan.

Sementara itu, 27 lagi pendatang asing tanpa izin (PATI) didakwa tinggal di negara ini setelah tamat tempoh sah lawatan ketika ditahan di Pantai Sungai Tiang dekat Rungkup dalam daerah Bagan Datuk pada masa dan hari yang sama.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15(4) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-dua sekali.

Seramai 51 warga Indonesia dibawa ke Mahkamah Majistret Teluk Intan pada Jumaat atas dua pertuduhan memasuki negara ini tanpa dokumen sah dan tinggal lebih masa.
Seramai 51 warga Indonesia dibawa ke Mahkamah Majistret Teluk Intan pada Jumaat atas dua pertuduhan memasuki negara ini tanpa dokumen sah dan tinggal lebih masa.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Izzudin Fakri Hamdan manakala kesemua warga asing tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudiannya menetapkan hukuman penjara empat bulan bermula dari tarikh tangkapan terhadap 46 PATI sementara lima orang lagi dikenakan denda RM4,000.

Difahamkan, semasa tangkapan, PATI terlibat berhimpit dalam sebuah bot dengan menempuh perjalanan lebih 25 jam untuk masuk ke negara ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!