Anak sedia pakai uniform tahun lepas

KOTA BHARU - “Anak saya bersedia nak pakai baju sekolah lama dari darjah Satu,” luah Noraziah Azmi, 38, seorang ibu yang berusaha keras memastikan anaknya dapat meneruskan persekolahan walaupun berdepan kekangan kewangan.
Noraziah yang tinggal di Sungai Keladi, di sini bersama suami dan tiga anak berkata, mereka tidak mampu membeli kelengkapan sekolah baharu setiap tahun kerana pendapatan keluarga yang tidak menentu.
“Suami saya bekerja sebagai penebang pokok dengan pendapatan sekitar RM200 hingga RM500 sebulan, bergantung kepada keadaan.
“Saya pula menjual kuih secara kecil-kecilan untuk menambah pendapatan, tetapi hasilnya tidak seberapa,” katanya ditemui selepas menerima uniform sekolah daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Lama di Jalan Merbau, di sini pada Jumaat.

Menurut Noraziah, anak sulungnya, Muhamad Adam Zidane, 8, yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Indra Petra memahami keadaan keluarga dan tidak pernah meminta lebih daripada yang mampu mereka sediakan.
“Dia kata tak apa kalau tak beli baju baharu, boleh pakai baju tahun lepas.
“Beg sekolah pun dia guna yang lama, tetapi syukur sangat ada rezeki, dua hari sebelum sekolah buka dia dapat uniform baharu, dia gembira sangat,” katanya dengan nada sebak.
Noraziah dan suaminya, Zidane Zaki, 48, kini menumpang di rumah ibu bapa dengan dua lagi anak berusia enam tahun dan tujuh bulan kerana tidak mampu menyewa rumah sendiri.
“Kami baru sahaja membeli beg sekolah untuk dua anak yang bersekolah, tetapi kelengkapan lain seperti kasut dan alat tulis masih belum mencukupi.
“Bantuan Awal Persekolahan sebanyak RM150 yang diterima anak sulung kami digunakan untuk menampung yuran pra sekolah adiknya yang berjumlah RM230,” jelasnya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim berkata, agihan sumbangan Jom ke Sekolah 2.0 merangkumi beg, kasut dan baju sekolah itu kali kedua diadakan bagi membantu penduduk setempat yang masih belum mempunyai kelengkapan persekolahan yang bakal bermula pada Ahad ini.
“Kami menerima permintaan daripada rakyat yang meminta pertolongan untuk mendapatkan kelengkapan terutama uniform.
“Sumbangan kepada 550 penerima dilakukan dalam dua sesi agihan diharap akan meringankan bebanan mereka yang terdiri dalam kalangan asnaf dan ibu tunggal,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!