EAIC pertingkat pengawasan agensi penguat kuasa

Ismail
Ismail
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) akan terus pertingkat pengawasan dan siasatan terhadap agensi penguatkuasaan yang terlibat dalam pelanggaran integriti terutamanya rasuah.

Pengerusi EAIC, Tan Sri Dr Ismail Bakar berkata, Malaysia kekal di tangga ke-57 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2024 dengan skor 50, sama seperti tahun sebelumnya.

Menurutnya, walaupun terdapat usaha yang konsisten oleh kerajaan untuk memperbaiki sistem penguatkuasaan dan memperkenalkan pelbagai inisiatif anti-rasuah, masih ada isu yang berkaitan dengan integriti dalam beberapa agensi penguatkuasaan.

"Contohnya kes e-waste (sampah elektronik) oleh Jabatan Alam Sekitar dan visa perubatan oleh Jabatan Imigresen Malaysia.

"Selain itu, kesedaran dan penguatkuasaan terhadap amalan integriti yang lebih kukuh di kalangan pegawai kerajaan dan sektor swasta masih perlu diperkuatkan," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata, bagi menangani isu berkaitan integriti dan rasuah, EAIC mengambil pelbagai langkah proaktif.

Tambah Ismail, pihaknya akan bekerjasama dengan agensi kerajaan dan badan-badan berkaitan khususnya agensi penguatkuasaan EAIC untuk melaksanakan program pendidikan dan kesedaran mengenai integriti.

"Ini juga termasuk memberi penekanan kepada tindakan tegas terhadap sebarang pelanggaran," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Katanya lagi, selain itu, EAIC akan turut mengkaji semula tatacara kerja agensi-agensi penguatkuasaan agar selaras dengan prinsip tatakelola yang baik.

Pada Selasa, Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan dilaporkan berkata, walaupun tidak mengalami kemerosotan, beberapa faktor termasuk semakan semula hukuman penjara dan pengurangan denda selepas disabitkan oleh mahkamah tertinggi ke atas kes berprofil tinggi mungkin mempengaruhi sebab tiada peningkatan terhadap skor kedudukan Malaysia.

Menurut kenyataan itu, ia mewujudkan persepsi unsur campur tangan politik dalam badan kehakiman.

Keputusan CPI 2024 dilancarkan Gabungan antirasuah global TI merupakan hasil sembilan tinjauan yang berbeza berdasarkan penilaian pakar perniagaan dan negara.

Penilaian tersebut mengukur persepsi tahap rasuah dalam sektor awam di 180 buah negara dan wilayah di seluruh dunia.

Keputusan 2024 juga menyaksikan tiga buah 'negara bersih dari ancaman rasuah' yang berjaya menduduki tiga tangga teratas dalam indeks tersebut ialah Denmark, Finland dan Singapura dengan skor sebanyak 90 mata, 88 mata dan 84 mata.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!