Chelsea ketepi khidmat Jackson ke Brighton

Nicolas Jackson akan berehat selama enam hingga lapan minggu akibat kecederaan hamstring. Foto Agensi
Nicolas Jackson akan berehat selama enam hingga lapan minggu akibat kecederaan hamstring. Foto Agensi
A
A
A

[DIKEMAS KINI] KELAB Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea terpaksa melupakan khidmat penyerang sensasi, Nicolas Jackson yang akan berehat selama enam hingga lapan minggu akibat kecederaan hamstring.

Perkembangan terkini dikongsikan pengendali The Blues, Enzo Maresca yang menyaksikan Jackson terpaksa disisihkan dalam aksi liga menentang Brighton & Hove Albion, pasukan yang menyingkirkan kelab London itu dalam Pusingan Keempat Piala FA hujung minggu lalu.

Bekas tonggak kelab Sepanyol, Villarreal berusia 23 tahun itu yang menjaringkan sembilan gol liga musim ini, cedera sebelum dikeluarkan separuh masa kedua ketika Chelsea menang 2-1 ke atas West Ham United awal bulan ini.

"Nico akan diketepikan sehingga rehat antarabangsa, dia mungkin boleh beraksi kembali selepas rehat antarabangsa.

"Kami tahu ia berkaitan masalah otot tetapi tidak serius awalnya. Reaksinya baik, jadi kami tidak fikir ia satu kecederaan besar.

"Namun malangnya selepas dia menjalani imbasan beberapa hari lalu ternyata dia akan berehat selama enam hingga lapan minggu," kata Maresca.

Chelsea yang menghuni tangga keempat liga dengan 43 mata, 14 mata di belakang pendahulu Liverpool, akan berdepan pasukan tangga ke-10, Brighton di Stadium American Express pagi Sabtu.

Sementara itu, Maresca turut mengesahkan Marc Guiu, Romeo Lavia, Benoit Badiashile dan Wesley Fofana turut diketepikan daripada mengikuti rombongan ke laman The Seagulls bimbingan Fabian Hurzeler akibat kecederaan.

"Fofana memerlukan dua atau tiga minggu untuk kembali beraksi manakala Lavia juga boleh kembali hanya selepas rehat antarabangsa bulan depan," kata pengendali dari Itali itu.

Artikel Berkaitan:

INFO

Senarai kecederaan Chelsea

1. Nicolas Jackson

2. Marc Guiu

3. Romeo Lavia

4. Wesley Fofana

5. Benoit Badiashile

6. Mykhailo Mudryk

7. Omari Kellyman

JADUAL LIGA PERDANA INGGERIS

SABTU (15 FEBRUARI)

Brighton lwn Chelsea, 4 pagi

Leicester City lwn Arsenal, 8.30 malam

West Ham United lwn Brentford, 11 malam

Southampton lwn Bournemouth, 11 malam

Aston Villa lwn Ipswich Town, 11 malam

Manchester City lwn Newcastle United, 11 malam

Fulham lwn Nottingham Forest, 11 malam

AHAD (16 FEBRUARI)

Crystal Palace lwn Everton, 1.30 pagi

Liverpool lwn Wolves, 10 malam

ISNIN (16 FEBRUARI)

Tottenham Hotspur lwn Manchester United, 12.30 malam

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!