PM tegur KPM segerakan pemerkasaan penguasaan Bahasa Inggeris

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri mahu Kementerian Pendidikan (KPM) segera laksanakan inisiatif memperkasakan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan murid.
Berucap di Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan (MoF), Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, perancangan dalam Reformasi Pendidikan yang telah diputuskan kerajaan tidak boleh memakan masa yang panjang.
"Kalau keputusan pada 2023, dirangka pada 2024, diputuskan pada 2025, akan dimulakan rancangan ujian tahun 2026, tahun 2027 dijalankan peringkat awal dan 2028 baru melaksanakan, tidak boleh perancangan terlalu lama," katanya pada Rabu.
Ujar beliau, perencanaan begitu lama akan menyebabkan sistem pendidikan negara ketinggalan.
"Saya tidak nafikan kerenah dan kerumitan kerana kerencaman dalam sistem dan latihan guru tetapi kalau ikut kaedah lama, kita akan ketinggalan.
"Itu isunya," ujar Anwar.
Menurutnya, pemerkasaan bahasa Inggeris dalam kalangan murid perlu diberi anjakan sebagaimana telah disepakati.
"Di antara yang saya tekankan selain daripada memantapkan penguasaan Bahasa Melayu adalah untuk memberikan sedikit anjakan iaitu memastikan penguasaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua itu mantap di kalangan pelajar terutama peringkat menengah," katanya.
Anwar berkata, satu pasukan perlu digerakkan untuk berfikir dan bertindak secara pantas ke arah merealisasikan usaha tersebut.
"Kita pilih bagaimana hendak laksana dengan cepat. Tidak laksana cepat, kita akan kalah," jelasnya.
Pada 8 Jun tahun lalu, Anwar menegaskan kerajaan tidak pernah berganjak daripada usaha memartabatkan Bahasa Melayu meskipun dalam masa yang sama mahukan rakyat negara ini menguasai Bahasa Inggeris.
Katanya, penguasaan Bahasa Inggeris bukan bermakna kepentingan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi perlu diabaikan.
Selain itu, kerajaan juga bercadang membawa sukarelawan pengajar Bahasa Inggeris dari Singapura, bagi membantu meningkatkan penguasaan bahasa berkenaan di kawasan pedalaman.
Ia susulan pertemuan beliau bersama Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong dalam kunjungan ke Malaysia, tahun lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!