Kesuraman Liga-M tak gugat import berkualiti pilih JDT

Dari kiri, Gonzalez, Mesa dan Viera antara pemain baharu memperkuatkan cabaran JDT.
Dari kiri, Gonzalez, Mesa dan Viera antara pemain baharu memperkuatkan cabaran JDT.
A
A
A

KESURAMAN saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang turut menjejaskan prestij bola sepak negara tidak menggugat Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk membawa masuk pemain berkualiti tinggi ke dalam pasukan mereka.

Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah berkata, kehadiran tiga pemain baharu JDT, menunjukkan kelab Harimau Selatan itu kekal menjadi perhatian dan pilihan pemain-pemain dari Eropah.

Menurutnya, kemampuan JDT terutama bersaing di Asia dalam Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) juga sedikit sebanyak menyelamatkan imej Liga-M di sebalik sambutan peminat yang semakin dingin terhadap industri bola sepak negara.

Effendi Jagan
Effendi Jagan

"JDT sudah tentu berada pada tahap berbeza. Tuanku Mahkota Ismail (Pemilik JDT) ada di sana dan mereka juga ada staf yang cukup bagus dan profesional.

"Pemain-pemain terutama dari Eropah yang mahu datang sudah tentu akan periksa betul-betul kemampuan pasukan dan sebagainya.

"Mereka bukan saja-saja datang dan itu dibuktikan oleh JDT yang berjaya membawa tiga pemain yang ada nama di Eropah walaupun sudah berusia," katanya kepada Sukan Sinar.

Sebelum ini, JDT mengumumkan bekas penyerang Valencia, Jonathan Viera, bekas pemain tengah Sevilla dan Swansea City, Roque Mesa dan bekas pemain pertahanan Villarreal, Alvaro Gonzalez menyertai juara 10 kali Liga Super itu.

Artikel Berkaitan:

Langkah JDT mengambil ketiga-tiga pemain itu untuk kempen ACLE menentang pasukan Australia, Central Coast Mariners dan FC Pohang Steelers (Korea Selatan) untuk misi mara ke pusingan seterusnya.

Ia menjadi satu penanda aras baharu buat pasukan di Liga-M apabila JDT berjaya membawa masuk antara pemain dari Eropah yang mempunyai reputasi tinggi di sebalik saingan domestik yang semakin kurang mendapat sambutan daripada peminat.

Dalam pada itu, mengulas mengenai situasi hambar Liga-M, Effendi Jagan percaya usaha menyeluruh perlu dilakukan dalam usaha memastikan saingan liga kembali bernyawa.

Malah, beliau juga turut meminta mana-mana pasukan yang tidak berkemampuan daripada awal musim untuk tidak menyertai saingan liga agar mereka tidak menghadirkan masalah pada masa akan datang.

"Bagi saya, memang saingan liga kita semakin parah. Banyak faktor yang menyumbang tetapi antara yang utama sudah tentu masalah tunggakan gaji dalam pasukan.

"Dalam masa sama, kita juga kena ada satu perjumpaan yang besar dari segi pemegang taruh, Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), penaja dan sebagainya untuk melihat kenapa suram dan makin parah.

"Kalau tunggu saja tanpa ada tindakan, sudah tentu ia akan menyebabkan liga kita terus hilang sokongan dan hambar," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!