Kerajaan PH masih sah: Dzulkefly

Dr Dzulkefly
Dr Dzulkefly
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan terus melaksanakan tugas dan tanggungjawab selain memenuhi mandat diberikan rakyat.

Pengarah Strategik Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, Kerajaan PH masih sah walaupun berlaku kemelut politik kononnya berlaku pembentukan kerajaan pintu belakang.

"Buat masa ini kita hanya menunggu. Saya difahamkan, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Kita masih kerajaan dan masih menjalankan tugas-tugas selagi tidak ada apa-apa perubahan. Namun kita wajar menantikan titah dan pendirian Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Kempen Kesedaran Pengurusan Kelesuan Bagi Anggota Kesihatan Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.

Mengulas lanjut Dzulkefly yang juga Menteri Kesihatan berkata, Amanah akan tetap mendokong keputusan muafakat seperti diputuskan pada mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) pada Jumaat lalu.

"Segalanya sudah diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Presiden PH. Kita mendokong keputusan yang ditetapkan Perdana Menteri, Tun (Dr Mahathir Mohamad) dalam mesyuarat itu.

"Itu pendirian kami dan bersandarkan kepada keputusan muafakat Majlis Presiden (PH)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Semalam, beberapa parti politik kerajaan dan pembangkang, masing-masing mengadakan mesyuarat tergempar sebelum khabar angin mengatakan kerajaan PH akan dibubarkan.

Bagaimanapun, sehingga jam 12 tengah malam tadi, tidak ada sebarang pengumuman dibuat oleh Dr Mahathir malah majlis yang diadakan di Hotel Sheraton hanya majlis makan malam melibatkan ahli Parlimen dari blok pembangkang sahaja.