Pemuda maut motosikal langgar MPV buat pusingan U

JOHOR BAHRU – Seorang pemuda maut selepas motosikal ditunggang melanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang membuat pusingan U sebelum terbakar di Kilometer 43.1 Lebuhraya Senai Desaru di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, pihaknya menerima maklumat kemalangan itu sekitar jam 8 pagi melibatkan motosikal jens Modenas Ninja dan MPV Proton Exora.
“Kemalangan berlaku semasa penunggang motosikal ditunggang mangsa iaitu lelaki tempatan yang berusia 31 tahun dari arah Taman Scientex menghala ke Pengerang.
“MPV itu pula dipandu seorang lelaki tempatan berusia 54 tahun dari arah sama hendak membuat pusingan U ke Tanjung Langsat,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Mengulas lanjut, Mohd Sohaimi memaklumkan, semasa motosikal tersebut berada di lorong tengah, tiba-tiba MPV tersebut membuat pusingan U secara mengejut menyebabkan penunggang tersebut tidak sempat mengelak lalu terlanggar bahagian sisi kanan kenderaan itu dan terjatuh.
Katanya, motosikal berkenaan terbakar akibat pelanggaran itu dan mangsa mengalami kecedaraan parah di bahagian kepala meninggal dunia di tempat kejadian.
"Siasatan dijalankan bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu melulu dan membahayakan hingga menyebabkan kematian.
"Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya selain kurangkan kelajuan dan dilarang membuat pusingan U di tempat tidak dibenarkan.
“Sebarang maklumat daripada saksi boleh disalurkan kepada pihak polis menerusi talian 07-3864222 bagi membantu siasatan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

