Harimau Selatan alih tumpuan ke Pohang Steelers

Gonzalez meledak gol pertama JDT ketika menentang Central Coast Mariners di Gosford, Australia, pada Selasa. Foto: Johor Southern Tigers
Gonzalez meledak gol pertama JDT ketika menentang Central Coast Mariners di Gosford, Australia, pada Selasa. Foto: Johor Southern Tigers
A
A
A

JOHOR Darul Ta’zim (JDT) akan memberi sepenuh tumpuan kepada penyediaan pasukan yang mantap menentang FC Pohang Steelers dalam aksi terakhir Liga Juara-Juara Asia Elite (ELITE) selepas menjinakkan Central Coast Mariners di Gosford, Australia, pada Selasa.

“Tiga mata diraih penting dalam perlawanan ini membolehkan kami melakukan persiapan rapi untuk perlawanan terakhir kumpulan menentang lawan dari Korea Selatan.

“Saya juga menyifatkan perlawanan ini juga ibarat perlawanan akhir pasukan JDT dalam usaha menempatkan diri kelompok lapan terbaik kumpulan Zon Timur.

“Malah menentang pasukan seperti Central Coast Mariners bukan sesuatu yang mudah, tetapi pemain telah mempamerkan peningkatan dari satu perlawanan ke satu perlawanan,” katanya selepas perlawanan di Gosford.

JDT sebelum itu meraih kemenangan ketiga selepas mengharungi tujuh Zon Timur apabila menewaskan Central Coast Mariners, 2-1 dengan gol dihasilkan Alvaro Gonzalez (m-64) dan Alou Kuol (m-70).

Anak buah Bidoglio yang kini menduduki tangga kelima saingan liga Zon Timur dengan 11 mata akan berdepan kelab tangga ketujuh, Pohang Steelers di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Selasa depan.

Mengenai prestasi Gonzalez, Bidoglio mengakui gembira dengan sumbangan diberikan pemain pertahanan dari Sepanyol itu dalam perlawanan berkenaan.

“Gonzalez, mempamerkan semangat berpasukan tinggi yang merupakan perkara penting dalam Keluarga JDT.

“Selain itu dia juga banyak membantu dalam memperkukuhkan bahagian pertahanan pasukan pada ketika ini. Secara keseluruhan saya amat berpuas hati komitmen semua pemain terutama pemain baharu yang baru tiba dalam memastikan kemenangan JDT di sini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Gonzalez senada dengan Bidoglio mengakui kemenangan tersebut penting dalam menghidupkan peluang Harimau Selatan mara ke pusingan seterusnya.

Malah, pemain berusia 33 tahun dari Sepanyol itu yang gembira dapat menyumbang jaringan buat JDT di Gosford berkenaan biarpun baru seminggu bersama Harimau Selatan.

“Sokongan daripada pemain dan kakitangan kelab sebenarnya banyak membantu saya menyesuaikan diri dengan segera, dan berharap dapat membantu pasukan mara ke pusingan seterusnya,” katanya.

Gonzalez juga mengakui kehadiran pemain-pemain berpengalaman seperti Jonathan Viera dan Roque Mesa yang pernah beraksi di La Liga Sepanyol banyak membantunya menyesuaikan diri dengan gaya permainan JDT.

"Ya, kami pemain baharu saling mengenali satu sama lain, namun falsafah kelab sebenarnya penting dan banyak membantu apabila memainkan gaya permainan yang sama," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!