Rajeswari dilantik Timbalan Pengerusi Majlis Perundingan Gaji Negara

PUTRAJAYA – Bekas Pengerusi Mahkamah Perusahaan, K Rajeswari dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) bagi tempoh 1 Februari hingga 30 September 2026.
Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menerusi kenyataan memaklumkan Rajeswari mempunyai pengalaman lebih 32 tahun dalam undang-undang perhubungan industri, pekerjaan, dan perundangan korporat.
"Dengan kepakaran mendalam dalam perhubungan industri, penggubalan dasar serta tadbir urus korporat, Rajeswari merupakan aset strategik dalam memastikan hala tuju perundangan yang kukuh, inovasi dasar, serta keseimbangan antara kepentingan pekerja serta majikan sejajar dengan objektif pembangunan ekonomi negara," katanya pada Khamis.
Rajeswari juga merupakan lulusan LLB (Hons) dari University of London serta Mediator Bertauliah MCIArb.
Sepanjang perkhidmatan beliau sebagai Pengerusi Mahkamah Perusahaan Malaysia, Rajeswari berjaya menyelesaikan lebih 500 kes, termasuk kes pemecatan pekerja, penstrukturan semula, pemberhentian kerja, dan rundingan perjanjian kolektif, melebihi sasaran indikator prestasi utama (KPI) yang ditetapkan.
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai penasihat undang-undang di The World Bank, Washington, D.C dan terlibat dalam penambahbaikan dasar buruh Malaysia, termasuk pengenalan dasar gaji minimum.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

