10 lelaki ditahan merusuh gara-gara kemalangan

JEMPOL - Polis menahan 10 lelaki tempatan selepas dipercayai terlibat dalam kejadian merusuh menggunakan senjata sehingga menyebabkan kecederaan kepada tiga daripada suspek di Taman ACBE, Bahau pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, sebelum itu pihak polis menerima maklumat kemalangan jalan raya membabitkan dua kenderaan di lokasi kira-kira jam 10 malam.
"Sebaik anggota polis Bahau tiba di tempat kejadian, beberapa lelaki sedang bertengkar.
"Hasil siasatan awal kejadian disebabkan kemalangan sehingga berlaku pertengkaran melibatkan dua kumpulan lelaki warga tempatan," katanya pada Sabtu.
Ujarnya, tiga suspek cedera berusia 28 hingga 43 tahun diserang menggunakan topi keledar dan telah dirujuk ke Hospital Jempol untuk rawatan lanjut.
Bagaimanapun, katanya, kesemua suspek dilaporkan stabil.
"Berikutan itu, polis berjaya menahan 10 lelaki berusia antara 21 hingga 43 tahun di sekitar Bahau pada jam 11 malam hingga 3 pagi Sabtu yang dipercayai terlibat dalam insiden tersebut.
"Suspek kini direman selama empat hari sehingga 11 Februari ini bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan," katanya.
Chang Hook berkata, pihak polis memandang serius terhadap aktiviti jenayah yang berlaku, malah tindakan tegas akan dilaksanakan terhadap mana-mana individu atau kumpulan jenayah yang menganggur-gugat keselamatan dan kesejahteraan masyarakat dengan adil dan telus.
"Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes ini memandangkan ia masih dalam siasatan polis.
"Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil melaporkannya di balai polis berhampiran atau menghubungi 06-4582222 atau 06-4583449 atau pegawai penyiasat kes, Inspektor Umu Fatihah Sulaiman 019-5553065," katanya.
Sebelum itu tular satu video berdurasi satu minit 33 saat di media sosial berkaitan kejadian dengan memaparkan anggota polis meleraikan pergaduhan berkenaan sehingga ada diantara lelaki terlibat terjatuh selain dipukul.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
