Hanya berkemban ketika dicekup berkhalwat

KULIM - Seorang pekerja kilang berstatus suami orang ditahan bersama seorang juru jual dalam serbuan dilakukan Pejabat Agama Daerah Kulim sekitar daerah ini, kira-kira jam 1.20 pagi Rabu.
Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Sharifudin Mat Saad berkata, ketika diserbu, wanita berusia 32 tahun itu hanya memakai tuala manakala pasangannya berusia 37 tahun, tidak berbaju.

Menurutnya, ketika disoal lanjut, kedua-duanya hanya berkenalan melalui media sosial lebih kurang setahun lalu.
"Lelaki itu dikatakan sampai ke rumah pasangannya pada jam 10.45 malam, katanya hantar wanita itu balik kerja.
"Ketika pintu dibuka, wanita hanya bertuala manakala lelaki bersembunyi di sebalik langsir tingkap dengan berseluar sahaja," dakwanya.

Menurut Anwar, lelaki tersebut dipercayai telah beberapa kali ke rumah pasangannya ketika ibu dan ayah wanita berkenaan tiada.
Dia turut memberi alasan berhadapan masalah rumah tangga di mana isterinya telah lari bersama lelaki lain.
Kes disiasat mengikut Seksyen 25(a)(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana disyaki berkhalwat.
"Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!