IWK ajak rakyat Malaysia sertai usaha kelestarian alam

Selepas meraikan ulang tahun syarikat yang ke-30 sepanjang tahun 2024 dengan berteraskan kepada IWK30: 3 Dekad Memelihara Kesejahteraan Rakyat, syarikat pembetungan nasional Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) menyambut tahun baharu dengan komitmen berterusan terhadap impak sosial melalui program khidmat masyarakat.
Memulakan usaha tanggungjawab korporat (CSR) utama syarikat itu melalui inisiatif IWK CARES, IWK menjalankan inisiatif kerajaan iaitu Santuni Madani di Taman Sinar Harapan, Kuala Kubu Bharu.
Dengan kerjasama sukarelawan dari Skuadron Pembetungan, 60 Rejimen Pakar Air RAJD (Askar Wataniah), pasukan pengurusan dan kakitangan IWK, pelbagai aktiviti telah dijalankan bagi tujuan memenuhi keperluan penghuni di institusi berkenaan.

Taman Sinar Harapan adalah sebuah institusi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang menyediakan penjagaan, perlindungan dan pemulihan orang kurang upaya pembelajaran.
Selain itu, ia berperanan sebagai ‘rumah selamat’ untuk kanakkanak kurang upaya serta menawarkan perlindungan dan sokongan kepada mereka.

Pasukan pengurusan IWK meluangkan masa bersama para penghuni, berkongsi momen kasih sayang dan keprihatinan serta menyampaikan cenderahati sebagai tanda penghargaan.
Di samping itu, pasukan IWK dan para sukarelawan turut mengecat semula bangunan untuk memberikan nafas baharu dan menyumbangkan 10 katil hospital bagi keperluan penghuni.

Pengosongan tangki septik
Selaras dengan komitmen syarikat terhadap penjagaan alam sekitar, IWK turut menjalankan perkhidmatan pengosongan tangki septik di pusat tersebut untuk memastikan ia dikosongkan secara berkala dan diselenggara dengan baik.

Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam berkata, ia bertujuan untuk mengelakkan limpahan dan mengurangkan sebarang risiko kepada kesihatan awam dan alam sekitar.
“Kami percaya hubungan bersama komuniti berkait rapat dengan kemampanan. Bersama berganding bahu, kita boleh mencipta impak bermakna dan menyokong bukan sahaja kesejahteraan alam sekitar tetapi juga kehidupan masyarakat.
“Ini adalah antara intipati program IWK CARES yang menyasarkan kepada impak sosial positif untuk seluruh masyarakat melalui pendidikan, pemeliharaan alam sekitar, dan pembangunan komuniti. Malah ia selari dengan hasrat kerajaan dalam inisiatif Santuni Madani,”katanya.

Program di Taman Sinar Harapan turut memberi makna yang cukup istimewa dan penuh memori kepada Narendran kerana beliau pernah dibesarkan di lokasi berdekatan bersama keluarganya yang telah menabur bakti menguruskan penghuni dan rumah berkenaan.
Program CSR IWK memberi penekanan untuk mewujudkan kempen berkesan yang membawa kebaikan kepada komuniti.
Program di Taman Sinar Harapan antara aktiviti yang telah dijalankan syarikat, di mana kesedaran alam sekitar digabungkan bersama program khidmat komuniti bagi mewujudkan impak yang berkekalan.
Ia berupaya memupuk perpaduan di samping mengajak orang ramai untuk menyumbang secara aktif kepada komuniti dan kelestarian alam sekitar.
Kempen Ops Sedut IWK

Pada masa yang sama, IWK turut menyokong PETRA Skuad Zon Selatan iaitu satu inisiatif anjuran Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), bersama Ops Sedut IWK yang dijalankan di Felda Ulu Penggeli, Kluang, Johor.
Majlis yang dihadiri warga Felda itu turut merangkumi demonstrasi pengosongan tangki septik bagi memberi kesedaran mengenai kepentingan perkhidmatan tersebut demi menjaga alam sekitar dan kesihatan awam.
Dalam usaha itu, IWK ingin mengajak semua pelanggan untuk mengambil bahagian dalam kempen Ops Sedut IWK dan menjadualkan perkhidmatan pengosongan tangki septik sekurang-kurangnya dua tahun sekali.

Ini bagi memastikan tangki berfungsi secara cekap dan mengelakkan limpahan yang berisiko kepada alam sekitar dan kesihatan awam.
Di Malaysia, terdapat dua jenis sistem pembetungan perkhidmatan bersambung iaitu air sisa kumbahan dari rumah atau premis disalurkan terus ke loji rawatan kumbahan IWK melalui paip pembetungan bawah tanah.
Sementara itu, tangki septik pula tangki yang memerlukan pengosongan secara berkala bagi mengekalkan keberkesanannya.
Penyelenggaraan dan pengosongan tangki septik yang berjadual dapat memastikan air sisa kumbahan dirawat dengan cekap dan dilupuskan dengan selamat serta mengurangkan risiko penyakit bawaan air.
Ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pemilik premis tetapi membantu memelihara kesihatan awam, masyarakat sekeliling dan alam sekitar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
