Projek SOGIP RM8.88 bilion pemangkin Sabah jadi hab tenaga Asia Tenggara - Hajiji

Hajiji (tiga dari kiri) menandatangani plak sebagai simbolik Pelancaran Projek Hab Tenaga, Minyak dan Gas di SICC Kota Kinabalu.
Hajiji (tiga dari kiri) menandatangani plak sebagai simbolik Pelancaran Projek Hab Tenaga, Minyak dan Gas di SICC Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Pelancaran Projek Hab Tenaga, Minyak dan Gas bernilai RM8.88 bilion di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) akan menjadikan Sabah sebagai hab utama dalam sektor tenaga di Asia Tenggara.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, projek itu sekali gus dijangka memainkan peranan penting dalam strategi tenaga dan perindustrian negara.

"SOGIP akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sektor tenaga yang amat penting untuk pertumbuhan ekonomi berterusan Sabah.

"Lebih penting lagi, projek ini akan membuka lebih banyak peluang untuk kerjasama, inovasi dan pembangunan dalam sektor minyak, gas dan tenaga yang akan memberi manfaat kepada industri serta masyarakat setempat," katanya.

Beliau berkata demikian pada pelancaran Projek Hab Penyimpanan dan Kemudahan Tenaga di SOGIP di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Selasa.

Hajiji dalam pada itu menekankan bahawa pembangunan SOGIP akan memberi penekanan besar terhadap kelestarian alam sekitar.

"Ketika Malaysia bergerak ke arah pengurangan jejak karbon, integrasi sumber tenaga lebih bersih seperti gas asli cecair (LNG) memainkan peranan penting dalam strategi peralihan tenaga negara.

"Selain itu, sistem penyimpanan dan pengedaran tenaga di SOGIP sedang dibangunkan untuk menyokong matlamat tenaga boleh diperbaharui jangka panjang Malaysia.

"Dengan memastikan bekalan gas asli dan bahan api karbon rendah yang stabil, SOGIP dapat membantu merapatkan jurang dalam peralihan daripada kebergantungan kepada bahan api fosil kepada penggunaan tenaga yang boleh diperbaharui," katanya.

Katanya lagi, kejayaan pelaksanaan projek itu bukan sahaja akan memperkukuh ekonomi domestik Malaysia, tetapi juga menyokong keselamatan tenaga serantau serta meningkatkan perdagangan antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

"Dengan sokongan kukuh daripada rakan kongsi sektor swasta dan kerajaan, SOGIP dijangka menarik lebih banyak pelaburan dalam infrastruktur tenaga, kemajuan teknologi dan pengembangan industri.

"Ketika Malaysia terus memperkukuh kehadirannya dalam pasaran tenaga global, SOGIP akan memainkan peranan strategik dalam mempertingkat daya tahan ekonomi, mencapai kemerdekaan tenaga, serta memastikan pertumbuhan industri yang mampan," ujarnya.

Sehubungan itu, Hajiji yakin bahawa projek ini akan menawarkan banyak peluang pekerjaan, latihan kemahiran dan pemerkasaan komuniti.

"Dalam hal ini, saya sentiasa menegaskan kepentingan untuk mengutamakan pengambilan tenaga kerja Sabah dalam semua projek dan operasi di negeri ini.

"Saya mahu semua pemain industri mematuhi keperluan asas ini sebagai prinsip utama dalam komitmen kita terhadap pembangunan tempatan,” katanya.

Beliau menegaskan kerajaan negeri serius dalam perkara itu dan ia dibuktikan dengan penubuhan Majlis Kandungan Tempatan Sabah melalui SMJ Energy pada Mei tahun lalu.

"Majlis ini berfungsi sebagai platform kerjasama bagi pemegang taruh industri untuk mengenal pasti peluang dalam meningkatkan keupayaan kandungan tempatan dalam industri minyak dan gas.

"Melalui platform ini, kerajaan negeri akan mewajibkan semua pemegang taruh untuk melabur dalam latihan dan pembangunan tenaga kerja Sabah melalui program jangka pendek dan sederhana yang akan dilaksanakan pada tahun 2025," katanya.

Sebagai rekod, projek itu adalah kerjasama antara Sabah Oil and Gas Development Corporation (SOGDC) yang menguruskan SOGIP dan Gibson Shipbrokers Limited sebagai sebuah syarikat yang pakar dalam industri maritim, tenaga dan sektor berkaitan.

Projek ini akan dilaksanakan dalam tempoh dua fasa dan merangkumi pembinaan pelabuhan bertaraf dunia untuk menyokong pengangkutan serta perdagangan tenaga dengan penggunaan tenaga kerja tempatan sebanyak 80 peratus.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!