X

Kindly register in order to view this article
!

Pemberhentian prosiding beri impak besar

Kamarul Zaman Yusoff
A
A

ALOR SETAR - Pemberhentian prosiding terhadap 12 tertuduh kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) akan memberi implikasi besar terhadap kewibawaan banyak pihak terutama Jabatan Peguam Negara.

Penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, kertas pertuduhan kes terbabit dirangka dan pendakwaan dibuat oleh Jabatan Peguam Negara sendiri namun setelah empat bulan disedari berlaku kesilapan malah tiada langsung permohonan maaf atas kesilapan itu.

Menurutnya, keputusan mengejut Peguam Negara, Tommy Thomas itu turut memberi implikasi besar kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta perundangan negara.

“Tertuduh ditahan pada 10 Oktober 2019, didakwa di mahkamah pada 29 Oktober 2019. Jika pertuduhan tidak kukuh, mengapa pendakwaan dimulakan? Jika ada kesilapan, mengapa hanya pada 21 Februari lalu kesilapan disedari dan Peguam Negara langsung tidak buat permohonan maaf atas kesilapan itu,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Beliau berkata, tindakan itu turut menjejaskan kewibawaan PDRM khususnya Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

“Ini kerana mereka tegaskan polis mempunyai bukti kukuh dalam menahan 12 tertuduh. Ayob Khan pernah dedahkan ada antara tertuduh merancang menyerang kedutaan Sri Lanka di Kuala Lumpur selain transaksi kewangan yang besar namun kenyataan Peguam Negara langsung tidak sebut aspek ini,” katanya.

Menurutnya, imej dan dana kerajaan turut menerima tempiasnya.

“Keputusan dan hujah-hujah diberikan Peguam Negara itu sudah pasti akan digunakan semula oleh sebahagian daripada mereka yang pernah atau sedang ditahan bawah Rang Undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) untuk menuntut pembebasan serta menuntut ganti rugi,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya ia berlaku, jumlah tuntutan terhadap kerajaan atas dakwaan penahanan secara salah pastinya bukan sedikit.

“Ia juga pasti akan menyukarkan cubaan untuk menahan dan mendakwa bawah SOSMA pada masa hadapan,” katanya.

Menurutnya, kenyataan 28 perenggan Peguam Negara seolah-olah membaca hujahan peguambela kepada 12 tertuduh untuk membebaskan mereka sedangkan Peguam Negara sepatutnya menjadi pembela kepada kerajaan.

Katanya, Peguam Negara menyatakan individu yang memiliki, menyebar atau mempamerkan bahan berkaitan kumpulan pengganas hanya boleh didakwa jika berpotensi menyebabkan kematian, kecederaan serius atau merisikokan orang awam.

“Kenyataan ini boleh mendorong rakyat untuk tidak lagi takut menyatakan sokongan terbuka kepada tokoh atau kumpulan pengganas atas alasan ia bukan kesalahan. Semua ini tidak bagus untuk keamanan dan keselamatan negara,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus