[VIDEO] Tembak depan rumah: Mangsa kejar kereta suspek nak dapat nombor plat

A
A
A

KLUANG - Pasangan suami isteri nekad mengejar sebuah kereta dinaiki tiga suspek yang melepaskan enam das tembakan di hadapan rumah mereka di Kampung Bukit Batu Machap, Simpang Renggam di sini pada Isnin.

Mangsa yang hanya dikenali sebagai Dian berkata, usaha mengejar kereta suspek sejauh dua kilometer bagi mendapatkan nombor pendaftaran kereta Perodua Bezza terbabit untuk diberikan kepada polis.

Dian menunjukkan kesan tembakan pada bingkai pintu rumahnya.
Dian menunjukkan kesan tembakan pada bingkai pintu rumahnya.

Dian yang masih trauma dengan kejadian itu berkongsi kisah didatangi tiga lelaki bertanyakan pemilik rumah dan kenderaan sebelum mengajukan pistol.

"Ketika itu saya dan suami baharu pulang dari sekolah agama kerana membayar yuran sekolah anak lelaki tunggal kami berusia 10 tahun.

"Saya, suami, ibu berusia 60 tahun, anak asuhan berusia tiga tahun dan anak lelaki kami berehat di rumah pada sebelah tengah hari," kongsinya.

Dian (kiri) berkongsi kisah cemas berdepan enam das tembakan di rumahnya di Kampung Bukit Batu Machap, Simpang Renggam.
Dian (kiri) berkongsi kisah cemas berdepan enam das tembakan di rumahnya di Kampung Bukit Batu Machap, Simpang Renggam.

Dian memberitahu timbul tanda tanya selepas sebuah kereta tidak dikenali memasuki halaman rumahnya.

Jelasnya, tiga lelaki tersebut mendekati rumah dan berdiri di tepi tembok dalam anggaran jarak kurang 10 meter.

Artikel Berkaitan:

"Selepas itu seorang suspek bertanya siapa pemilik rumah dan kereta. Namun belum sempat saya menjawab, seorang suspek telah mengacukan pistol dan lepaskan empat das tembakan.

"Tembakan nyaris terkena pinggang saya, tetapi tersasar terkena bingkai pintu, dinding rumah manakala dua lagi das tembakan tembus di meja makan di depan rumah.

"Saya sempat mengambil penyapu manakala suami ambil parang di dapur untuk pertahankan diri. Saya juga jerit minta tolong daripada jiran," katanya.

Tambahnya lagi, kehadiran jiran-jiran untuk membantu mengakibatkan kesemua suspek lari ke arah kereta sambil melepaskan dua das lagi tembakan.

Tidak melengahkan masa, dia dan suami terus menaiki kereta dan mengejar kereta suspek.

Kesan tembakan di rumah mangsa.
Kesan tembakan di rumah mangsa.

"Sehingga kini kami sekeluarga dalam keadaan ketakutan kerana masih terdapat beberapa suspek yang diburu polis. Setakat ini diberitahu hanya seorang sahaja sudah ditahan di Simpang Renggam.

"Saya amat risau keselamatan keluarga terutama ibu dan anak saya. Sampaikan ada orang datang beri salam, saya terus capai apa sahaja barang untuk pertahankan diri kerana takut saki baki geng mereka datang rumah.

"Namun, pihak polis turut memantau kawasan rumah saya selain orang kampung turut membantu," jelasnya.

Ketika ditanya mengenai motif kejadian, Dian enggan mengulas lanjut dan menyerahkan siasatan kepada pihak polis.

Dian menunjukkan kesan tembakan di meja makan di rumahnya.
Dian menunjukkan kesan tembakan di meja makan di rumahnya.

Dian dan suaminya yang bekerja sebagai pemandu peribadi di Johor Bahru yakin pihak polis akan menyelesaikan kes berkenaan dengan segera.

"Kesan tembakan masih dapat dilihat dan kami harap kesemua suspek dapat ditangkap segera," ujarnya.

Sebelum itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 12.17 tengah hari Isnin daripada seorang suri rumah.

Menurut beliau, salah seorang suspek dikenali sebagai Man Tiger berjaya ditahan di pusat perdagangan Simpang Renggam pada jam 7 malam pada Isnin dan akan direman di Mahkamah Majistret Batu Pahat pada petang Selasa.

Sementara tujuh lagi suspek masih giat diburu polis.

@sinarharianonline

Pasangan suami isteri nekad mengejar sebuah kereta dinaiki tiga suspek yang melepaskan enam das tembakan di hadapan rumah mereka di Kampung Bukit Batu Machap, Simpang Renggam di Kluang pada Isnin. Mangsa yang hanya dikenali sebagai Dian berkata, usaha mengejar kereta suspek sejauh dua kilometer bagi mendapatkan nombor pendaftaran kereta Perodua Bezza terbabit untuk diberikan kepada polis. #SinarHarian #SinarTerkini #KesTembak #Suspek #KluangJohor #KejarSuspek

News / News / Documentary / BGM(912498) - Kei

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!