Pengarah syarikat direman, disyaki buat tuntutan palsu lebih RM78,000

Suspek berusia 44 tahun ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret di sini, pada Selasa.
Suspek berusia 44 tahun ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret di sini, pada Selasa.
A
A
A

MELAKA - Seorang pengarah syarikat direman lima hari oleh Mahkamah Majistret di sini, pada Selasa selepas disyaki mengemukakan dokumen palsu bagi kerja pembekalan alatan sukan badminton lebih RM78,000.

Perintah reman terhadap suspek yang juga pengurus jualan sehingga Sabtu itu dikeluarkan oleh Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman selepas mendapat permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Suspek berusia 44 tahun dan bekerja di sebuah syarikat swasta ditahan selepas diminta hadir ke pejabat SPRM Melaka, Alai pada jam 3.30 petang Isnin bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.

Sumber berkata, dipercayai mengemukakan dokumen yang mempunyai butir matan palsu kepada seorang akauntan di salah sebuah syarikat pembekalan bagi kerja-kerja pembekalan alatan sukan badminton membabitkan jumlah keseluruhan RM78,812.60.

Bagaimanapun dipercayai pembekalan tersebut tidak dilaksanakan.

Terdahulu, suspek dibawa ke mahkamah kira-kira jam 9.30 pagi dengan memakai pakai lokap SPRM berwarna jingga.

Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!