Tak mustahil DeepSar Sarawak boleh lawan DeepSeek China

DeepSeek diasaskan oleh seorang jurutera China, Liang Wenfeng di Hangzhou pada Julai 2023. Foto AFP
DeepSeek diasaskan oleh seorang jurutera China, Liang Wenfeng di Hangzhou pada Julai 2023. Foto AFP
A
A
A

PREMIER Sarawak Sabtu lalu melontarkan idea untuk negeri itu bangunkan sendiri model kecerdasan buatan (AI) mirip DeepSeek, aplikasi chatbot syarikat China yang telah menggemparkan dunia. Tan Sri Abang Johari menamakan model AI Sarawak itu ‘DeepSar’.

Beliau mahu DeepSar dicipta oleh rakyat Sarawak, dan dengan kandungan unik mengenai Bumi Kenyalang. Ia juga akan memudahkan ‘perbualan digital’ antara rakyat Sarawak dengan dunia.

Bagaimanapun, untuk projek seumpama itu berjaya, Abang Johari berkata, kesalinghubungan menyeluruh di seluruh Sarawak mesti diwujudkan dahulu.

“Mungkin ia tidak akan berlaku pada zaman saya, tetapi jika kita membina asas yang betul, suatu hari nanti ia akan menjadi realiti,” katanya.

DeepSeek diasaskan oleh seorang jurutera China, Liang Wenfeng di Hangzhou pada Julai 2023.

Aplikasi chatbot percumanya untuk versi iOS dan Android yang dilancarkan Januari lalu paling banyak dimuat turun di App Store Amerika Syarikat, mengatasi ChatGPT.

Merak Jalanan percaya idea ini boleh berjaya. Negeri ini dipimpin oleh orang yang jenis cakap, dia buat. Sebagai bukan orang Sarawak, Merak Jalanan tak nafi ada rasa cemburu.

Yelah, Sarawak sudah ada syarikat minyak sendiri, bank sendiri, syarikat penerbangan sendiri, dan tak mustahil nak buat AI sendiri.

Artikel Berkaitan:

Walaupun liputan 5G di kawasan berpenduduk di Sarawak baru sekitar 63 peratus pada tahun lepas, sekurang-kurangnya ada visi besar berkepentingan rakyat untuk dijayakan.

Ini barulah percambahan idea. Malangnya di Semenanjung, idea untuk pecah belah pula yang lebih banyak.

Ketika Abang Johari bercakap tentang idea-idea besar, di sesetengah tempat di negara ini orang politik masih sibuk bertelagah dalam hal-hal remeh seperti isu garis panduan acara agama lain.

Kita perlukan pemimpin berpandangan jauh yang berjuang untuk kesejahteraan rakyat, bukan sekadar bercakap kerana nak nama dan menjaga poket sendiri.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!