Erdogan tegas, berani perjuang Palestin - Anwar

Anwar (kanan) mengiringi Erdogan memeriksa barisan kawalan kehormatan oleh 28 pegawai dan anggota dari Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat) di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini. - Foto Bernama
Anwar (kanan) mengiringi Erdogan memeriksa barisan kawalan kehormatan oleh 28 pegawai dan anggota dari Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat) di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri menyifatkan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan seorang pemimpin yang berani dan tegas dalam memperjuangkan isu Palestin. Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kelantangan Turkiye bukan sekadar melontarkan kata-kata tetapi direalisasikan dengan tindakan diplomatik yang teguh.

"Di saat prinsip sering dikorbankan demi keselesaan, beliau dengan lantang menentang penindasan, pendudukan dan pembunuhan beramai-ramai," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan alu-aluan Majlis Syarahan Umum Erdogan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini pada Isnin.

Menurutnya, prinsip Erdogan itu tidak berubah meskipun pihak lain meragui tindakan yang diambil beliau.

"Ketika perhatian dunia meningkat, beliau memastikan sokongan kepada Palestin diterjemahkan kepada tindakan bermakna," ujar Anwar.

Jelasnya, hampir tiga dekad lalu, beliau telah menulis buku The Asian Renaissance mengenai bagaimana negara dan bangsa di rantau ini bangkit menentang penjajahan, mengambil kembali hak mereka dan menempa laluan baharu menuju kemodenan.

"Hari ini, kita menyaksikan fenomena serupa di Turkiye (iaitu) sebuah kebangkitan teknologi yang melonjakkan negara ini ke sempadan baharu," katanya.

Tambah beliau, beberapa kejayaan besar diraih Turkiye seperti dron Bayraktar merupakan pencapaian industri yang mengagumkan.

"Projek kenderaan elektrik TOGG, kemajuan dalam teknologi angkasa serta perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI) membuktikan bahawa Turkiye enggan terbelenggu dengan jangkaan silam, sebaliknya terus melangkah maju dengan bebas dan bermaruah," ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Namun katanya, di sebalik dasar dan statistik, terdapat sesuatu yang lebih mendalam tetapi tetap penting iaitu pengukuhan maruah negara.

"Dalam geopolitik, Erdogan telah membawa Turkiye ke hadapan sebagai kuasa dunia serta mendapat reputasi sebagai pendamai yang dipercayai dalam hal ehwal Timur Tengah dan Eropah.

"Hari ini, Turkiye bukan sekadar bertindak balas terhadap peristiwa, ia membentuk sejarah. Ini bukan kebetulan.

"Presiden Erdoğan sedar bahawa sejarah tidak akan berpihak kepada yang lemah, tetapi mengangkat mereka yang berani," katanya.

Pada masa sama, Anwar turut menyifatkan persahabatan bersama Erdogan yang terjalin bukan atas dasar kepentingan sementara, sebaliknya sebagai solidariti yang teguh.

Dalam nada sebak, Anwar berkata, Erdogan menghulurkan tangan ketika ramai berpaling disaat beliau berada dalam kesukaran.

“Ia adalah satu ekspresi persaudaraan yang tulen. Saya tidak pernah melupakannya,” katanya dalam nada sebak.

Terdahulu, Erdogan dan isteri, Emine Erdogan tiba di Kuala Lumpur bagi memulakan lawatan rasmi dua hari ke negara ini.

Pesawat yang membawa beliau dan delegasi mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 2.31 petang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!