[VIDEO] Suami mengaku tidak bersalah bakar kereta isteri
JOHOR BAHRU - Seorang pekerja aksesori kereta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, atas pertuduhan membakar kereta isterinya, minggu lalu.
Chai Kaw Fung, 26, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Thalha Bachok@Embok Mok.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan khianat dengan api mengakibatkan kerosakan dengan cara membakar kereta Toyota Vios milik isterinya, See Li Jing, 22.
Kaw Fung dituduh melakukan kesalahan itu di Jalan Tebrau, menghala ke pusat bandar raya, kira-kira jam 10.20 malam pada 2 Februari lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh dikenakan denda.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Fatimah Mamu manakala Kaw Fung diwakili peguam, Goh Sze Han.

Timbalan Pendakwa Raya kemudian memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM20,000 terhadap tertuduh.
"Syarat tambahan termasuk tertuduh perlu melapor diri di balai polis sebulan sekali, menyerahkan pasport kepada mahkamah selain tidak mengganggu saksi pendakwaan," katanya.
Peguam tertuduh memohon supaya jumlah jaminan dicadangkan Timbalan Pendakwa Raya sebanyak RM20,000 dikurangkan kerana terlalu tinggi.
Selain itu tiada bantahan daripada pihak tertuduh terhadap syarat tambahan melapor diri di balai polis dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Namun, Sze Han memaklumkan anak guam perlu menggunakan pasport untuk berulang-alik ke Singapura untuk mengambil stok barangan untuk kerjanya.

"Tertuduh juga hanya bergaji RM3,000 sebulan dan perlu menanggung anak tunggal berusia dua tahun selain ibu bapanya yang kini uzur," katanya
Hakim kemudian memerintahkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan syarat tambahan melapor diri di balai polis pada setiap bulan.
Selain itu, tertuduh juga diperintahkan menyerahkan pasportnya ke mahkamah selain tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes ini selesai," katanya.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 11 Mac depan untuk serahan dokumen.
Sebelum itu, media melaporkan perselisihan faham dalam rumah tangga, disyaki menjadi punca sebuah kereta Toyota Vios disimbah petrol sebelum dibakar dalam kejadian dekat Jalan Tebrau berhampiran sebuah hospital swasta di sini pada 2 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, berkata kejadian khianat itu dilakukan sendiri oleh suspek yang juga suami kepada pemilik kereta berkenaan yang menyebabkan mangsa kerugian hampir RM90,000.
Pada 5 Februari, lelaki terbabit dicekup disyaki melarikan diri dan berada di Bukit Pasir, Batu Pahat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

