Masalah rumah tangga punca suami bakar kereta isteri

Selisih faham antara suami isteri menjadi punca sebuah kereta dibakar di Jalan Tebrau, Johor Bahru pada Ahad.
Selisih faham antara suami isteri menjadi punca sebuah kereta dibakar di Jalan Tebrau, Johor Bahru pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Perselisihan faham dalam rumah tangga dipercayai menjadi punca sebuah kereta jenis Toyota Vios disimbah petrol sebelum dibakar dalam kejadian di Jalan Tebrau berhampiran sebuah hospital swasta di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, wanita tempatan berusia 21 tahun yang juga pemilik kereta terbabit membuat laporan di Balai Polis Majidee di sini jam 1.33 pagi pada Isnin.

Menurutnya, video berdurasi 28 saat yang tular, memaparkan sebuah Toyota Vios warna putih milik mangsa disimbah petrol dan dibakar oleh seorang lelaki warga tempatan berusia 25 tahun yang merupakan suaminya.

"Suaminya itu dikatakan tidak berpuas hati terhadap isterinya selepas berlaku salah faham dalam rumah tangga. Menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di jalan tersebut, kejadian berlaku pada jam 10.20 malam.

"Suspek tiba-tiba muncul dengan menaiki Toyota Vellfire dan menyekat kereta yang dinaiki isterinya bersama dua wanita lain serta seorang lelaki. Suspek bertindak menyimbah petrol dan membakar kereta itu sebelum lari menaiki Toyota Vellfire,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Raub berkata, susulan kejadian itu kereta Toyota Vios terbabit terbakar 80 peratus dan kerugian dialami mangsa dianggarkan hampir RM90,000.

"Polis giat mengesan lelaki terbabit bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta tampil membuat laporan atau menghubungi talian hotline IPD Johor Bahru Selatan iaitu 07-2182323," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!