JDT tagih magis trio import baharu

KEHADIRAN tiga pemain import baharu diharap dapat memantapkan lagi skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi berdepan skuad Liga Australia (A-League), Central Coast Mariners bagi aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Bluetongue, pada Selasa.
Menurut pengendali JDT, Hector Bidoglio, semua pemain berpengalaman itu pernah beraksi dalam beberapa perlawanan di peringkat tertinggi sebelum ini.
Malah katanya, biarpun rata-rata pemain berusia 35 tahun, dia tetap yakin mereka mampu memberikan aksi terbaik dan seterusnya membantu kejayaan skuad Harimau Selatan kali ini.
“Bagi saya, apa yang penting mereka merupakan pemain berpengalaman terutama dari segi teknikal. Ia sangat penting.
“Mereka juga pernah bermain di peringkat antarabangsa dan tahu bagaimana menyerap rasa kecewa, gembira dan ini membuatkan mereka begitu penting bagi pasukan.
“Selain itu, dengan kehadiran mereka juga memberikan kita lebih banyak pilihan menurunkan kesebelasan terbaik dalam saingan ACLE kali ini,” katanya menjelang aksi berdepan skuad The Mariners itu.
Untuk rekod, JDT bakal menampilkan bekas penyerang Valencia, Jonathan Viera yang beraksi sebagai penyerang, bekas pemain pertahanan Villarreal, Alvaro Gonzalez dan pemain tengah, Roque Mesa yang pernah beraksi dengan Sevilla dan Swansea City.
Untuk rekod, skuad Harimau Selatan itu kini berada pada kedudukan keenam Kumpulan A dengan lapan mata hasil dua kemenangan, seri dua kali dan tewas dua kali berbanding skuad Mariners yang berada pada kedudukan tercorot dengan hanya meraih satu mata hasil satu kemenangan dan tewas lima kali daripada enam perlawanan.
Sementara itu, Bidoglio menegaskan, perlawanan kali ini agak penting buat JDT dalam usaha mengukuhkan kedudukan selain menempah slot beraksi di peringkat kalah mati kali ini.
Bagaimanapun katanya, perkara berkenaan diharap tidak mengganggu fokus pemain bagi mengharungi perlawanan berkenaan.
“Secara keseluruhannya, pemain diharap dapat memberikan fokus kepada aksi berdepan Central Coast Mariners ini bagi memastikan kejayaan.
“Ia merupakan perlawanan penting dan pihak lawan juga bukannya calang-calang pasukan. Berdasarkan rakaman video, mereka kelihatan beraksi sebagai satu pasukan selain sering memanfaatkan peluang menerusi set-pieces yang diperolehi,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!