Brek rosak, Honda Civic langgar pagar, pondok pengawal

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki dan seorang pengawal keselamatan cedera apabila kereta dipandu terbabas hingga melanggar pagar di pintu masuk Pasar Taman Universiti, Skudai di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh, berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian berkenaan sekitar jam 2 petang daripada pemandu kereta itu yang berusia 31 tahun.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati sebuah kereta jenis Honda Civic 1.6 yang dipandu lelaki berkenaan dalam perjalanan dari arah Mutiara Rini menuju ke Taman Universiti.
“Ketika di lokasi, kereta berkenaan telah mengalami kerosakan pada sistem brek yang menyebabkan pemandu hilang kawalan dan merempuh pintu pagar serta pondok pengawal Pasar Awam Taman Universiti di sini.
"Akibat pelanggaran itu, pemandu kereta dan pengawal keselamatan warga tempatan berusia 21 tahun yang berada dalam pondok pengawal cedera,” katanya.
Kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59) kerana gagal mengawal kenderaan ketika memandu sehingga menyebabkan kemalangan dan dikenakan kompaun RM300,000.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
