X

Kindly register in order to view this article
!

LTTE: Tindakan Tommy ibarat perlekeh polis

AHMAD AMZAD HASHIM
A
A

KUALA TERENGGANU- Keputusan Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas yang menggugurkan pertuduhan terhadap 12 suspek kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dengan alasan yang lemah, seolah-olah memperlekehkan kebolehan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, sebagai sebuah negara yang menjunjung prinsip 'rule of law', Tommy sepatutnya bertindak memberikan keadilan melalui proses mahkamah, bukan berdasarkan budi bicara sendiri.

Menurutnya, ia memberikan persepsi salah guna kuasa, apatah lagi beliau dilihat rapat dengan kepimpinan parti tertentu sebelum dilantik memegang jawatan sekarang.

"Walaupun Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin masih bertegas menolak permintaan Tommy Thomas bagi menilai semula kedudukan LTTE dalam senarai pengganas, ia sebenarnya masih kurang meyakinkan untuk rakyat berasa selamat di atas unsur keganasan di dalam negara.

"Saya menggesa agar Kementerian Dalam Negeri menggunakan Akta Pencegahan Keganasan (POTA) 2015 yang memberikan kuasa kepada Menteri Dalam Negeri untuk menahan tanpa bicara semua suspek LTTE bagi tempoh 2 tahun atau sehingga pihak KDN berpuas hati terhadap ketidakbersalahan mereka," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Ahmad Amzad, walaupun beliau bersetuju bahawa keadilan perlu melalui proses mahkamah, namun penggunaan POTA 2015 adalah langkah akhir sekiranya proses memperoleh keadilan secara normal itu kini dimungkiri oleh sesetengah pihak.

Namun, jika tindakan tersebut diambil, kebajikan keluarga semua suspek hendaklah menjadi antara keutamaan kerajaan.

"Saya mengingatkan kerajaan hari ini dan seluruh agensi di bawahnya bahawa keselamatan rakyat adalah sesuatu yang tidak boleh dikompromi dengan kepentingan politik parti tertentu," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus