Scammer menyamar ADUN Bota untuk tipu duit

Scammer menggunakan WhatsApp untuk menipu mangsa.
Foto: Fb Mohd Adri Adha Mohamad
Scammer menggunakan WhatsApp untuk menipu mangsa. Foto: Fb Mohd Adri Adha Mohamad
A
A
A

PARIT - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota membuat laporan polis susulan identitinya digunakan scammer bagi menipu dua rakan membabitkan kerugian RM1,800 pada Khamis lalu.

Khairul Shahril Mohamed berkata, beliau mengetahui perkara itu apabila mangsa sendiri menghubungi dan memaklumkan mengenai mesej yang diterima daripada aplikasi WhatsApp yang mengatakan beliau mahu meminjam wang.

"Dia hubungi saya bertanyakan mengenai pinjaman wang tersebut dan saya beritahu tidak pernah meminta wang serta menggunakan nombor telefon baharu.

"Scammer itu gunakan gambar profil saya dari Facebook untuk WhatsApp rakan-rakan kononnya pinjam wang dengan meminta memasukkan wang ke akaun milik Haji Matsin," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Menurutnya, scammer itu berjanji untuk menggantikan semula wang tersebut dalam tempoh beberapa jam.

Khairul Shahril membuat laporan polis selepas mengetahui identitinya digunakan scammer bagi meminjam wang daripada kenalan.
Khairul Shahril membuat laporan polis selepas mengetahui identitinya digunakan scammer bagi meminjam wang daripada kenalan.

"Apabila sudah pindahkan wang terbabit, scammer itu meminta lagi wang sebanyak RM1,200. Ketika itulah baru dia tersedar dan menghubungi saya.

"Apabila dihebahkan di Facebook, rupanya ada lagi rakan-rakan yang menerima mesej sama. Yang saya ketahui hanya seorang saja yang telah terpedaya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau menasihatkan penduduk terutama di kawasan Bota dan Parlimen Parit agar lebih berhati-hati dan tidak terpedaya dengan modus operandi scammer itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso mengesahkan menerima laporan tersebut.

"Setakat ini terdapat satu laporan diterima oleh Balai Polis Seri Iskandar.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.