X

Kindly register in order to view this article
!

Pemuda Pas Selangor gesa Peguam Negara lepas jawatan

Hanafi
A
A

SHAH ALAM - Pemuda Pas Selangor mendesak agar Peguam Negara, Tommy Thomas segera dilucutkan jawatan dan diganti dengan individu yang lebih berwibawa.

Ketuanya, Hanafi Zulkapli berkata, tindakan Tommy membebaskan 12 tertuduh kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) mengejutkan banyak pihak dan turut mendapat maklum balas daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Beliau berkata, keputusan yang dibuat itu adalah melampaui bidang tugas Tommy malah ia turut akan membawa implikasi negatif dalam bidang kuasa pentadbiran berdasarkan perjawatan berbeza.

"Ini membuktikan Peguam Negara sedia ada tidak profesional dan tidak berwibawa dalam menjalankan tugasannya yang berada di posisi penting iaitu selaku Penasihat Undang-undang Utama kepada Kerajaan Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Peguam Negara tiada kuasa, kata Muhyiddin

LTTE: 28 hujah AG batal prosiding jenayah 12 individu

Sebelum ini, Tommy membuat keputusan untuk membebaskan 12 tertuduh dalam kes berkaitan dengan kumpulan militan LTTE berkuat kuasa pada 21 Februari lalu.

Susulan itu, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan memaklumkan penyenaraian LTTE sebagai kumpulan pengganas adalah tertakluk kepada kuasa Menteri Dalam Negeri yang diperuntukkan bawah undang-undang.

Malah, Muhyiddin berkata, Peguam Negara tidak mempunyai kuasa di bawah undang-undang untuk mencampuri bidang kuasa Menteri Dalam Negeri.

Dalam pada itu, Hanafi memaklumkan bahawa pembebasan 12 tertuduh dalam isu LTTE ini juga membawa kebimbangan kerana bukti penahanan ke atas mereka adalah jelas dan sewajarnya diheret ke dalam perbicaraan terlebih dahulu.

"Malaysia bakal menjadi sarang merekrut pengganas yang mengimport ideologi ekstrim dari luar iaitu Sri Lanka jika tiada bantahan dan bangkangan terhadap keputusan pembebasan tersebut," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus