TI-M gesa segerakan pengisytiharan harta ahli Parlimen, penjawat awam

Muhammad
Muhammad
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Madani digesa mewajibkan semua ahli Parlimen dan penjawat awam mengisytiharkan aset masing-masing secepat mungkin, selari dengan dasar ketelusan dan tadbir urus yang baik.

Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan berkata, langkah berkenaan bukan hanya meningkatkan imej Kerajaan Madani dari segi reformasi undang-undang, malah secara tidak langsung menyumbang kepada penilaian dan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah bagi tempoh jangka panjang.

Muhammad menjelaskan tindakan berkenaan turut selaras dengan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet mengenai tadbir urus negara, yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menekankan keperluan format baharu pengisytiharan aset.

Menurutnya, langkah berkenaan penting bagi menunjukkan kerajaan semasa sentiasa mengutamakan akauntabiliti dan amalan mencegah amalan rasuah.

"Kerajaan perlu memberi keutamaan kepada pelaksanaan format baharu ini dan menjadikan dokumen pengisytiharan aset kepada semua pegawai awam dan ahli Parlimen boleh diakses semua pihak.

"Ketelusan melalui pengisytiharan aset merupakan aspek penting dalam mengukur tahap integriti dan membina kepercayaan orang awam terhadap institusi demokrasi di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Muhammad berkata, pihaknya percaya penguatkuasaan dasar berkenaan akan mengukuhkan komitmen Kerajaan Madani terhadap ketelusan dan tadbir urus baik.

"Kami berharap inisiatif ini akan menjadi contoh bagi pentadbiran masa hadapan dan menyumbang kepada kerajaan lebih bertanggungjawab dan telus," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!