Pusat pemborong, peruncit diwujudkan seluruh negara

Mohd Redzuan (empat, kanan) bersama tiga koperasi sekolah negeri Melaka yang menerima 'papan tanda jimat biz' Program Pembekalan Barangan Asas 100 (BA100) Program Mesra Koperasi Bazar Jualan Harga Patut BA100. -Foto Bernama
Mohd Redzuan (empat, kanan) bersama tiga koperasi sekolah negeri Melaka yang menerima 'papan tanda jimat biz' Program Pembekalan Barangan Asas 100 (BA100) Program Mesra Koperasi Bazar Jualan Harga Patut BA100. -Foto Bernama
A
A
A

ALOR GAJAH - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) akan mewujudkan pusat pemborong dan peruncit di seluruh negara di bawah Program Pembekalan Barangan Asas 100 (BA100) yang menjual barang keperluan pada harga lebih murah daripada pasaran.

Menterinya, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata, usaha mewujudkan pusat itu mendapat kerjasama kira-kira 3,000 cawangan koperasi di bawah Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) dan ia akan dibina secara berperingkat.

Beliau berkata, setakat ini, infrastruktur bagi menyokong pembukaan pusat pemborong dan peruncit sama ada secara nyata atau dalam talian sedang dibangunkan dan ia akan dilancarkan di setiap negeri dalam masa terdekat.

"Saya lihat begitu jelas Program BA100 memberi kesedaran kepada kerajaan bahawa rakyat sangat memerlukan sokongan, dokongan dan bantuan seperti ini khususnya bagi menurunkan harga barangan asas sekali gus mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.

"Justeru, koperasi di bawah Angkasa diamanahkan kerajaan untuk melaksanakan program ini khususnya bagi golongan B40 dengan melakukan beberapa penambahbaikan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Mesra Koperasi Bazar Jualan Harga Patut BA100 di Masjid Tanah, di sini, hari ini.

Program BA100 merupakan program berteraskan platform e-dagang yang mengumpulkan belian barangan asas secara pukal dan ia mendapat sokongan kerajaan serta digerakkan bersama Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Institut Koperasi Malaysia.

Mohd Redzuan berkata, inisiatif mewujudkan pusat pemborong dan peruncit itu juga selaras dengan usaha kerajaan mengembangkan operasi atau kedudukan koperasi sedia ada terutama yang berskala kecil selain mengurangkan peranan orang tengah dalam rantaian pemasaran dan pembekalan barangan asas.

Sementara itu, beliau berkata, pindaan Akta Koperasi 1993 yang bertujuan memperkasa dan memudah cara gerakan koperasi sedang diperhalusi serta diteliti dengan penglibatan pemegang taruh dan ia diharap dapat diluluskan pada tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ia termasuk aspek undang-undang bagi memastikan akta itu dapat merasionalkan fungsi agensi berkaitan koperasi dalam mengurangkan kerenah birokrasi yang mengekang koperasi terlibat dalam pelbagai aktiviti khususnya melibatkan ekonomi atau keusahawanan.-Bernama