Lebih 1,500 pembayar zakat, wakaf dipilih pemenang hadiah kempen PPZ-MWAIP 2024

SHAH ALAM - Lebih 1,500 pembayar zakat dan wakaf telah terpilih sebagai pemenang bagi kempen tahun 2024 iaitu Kempen 1 Bulan 1 Wakaf, Kempen Jom Potong Skim Potongan Zakat Bulanan (Skim PZB) serta Kempen Year End Zakat (YEZ).
Kempen tersebut dianjurkan oleh Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) untuk meningkatkan kesedaran masyarakat Islam khususnya di Wilayah Persekutuan mengenai kepentingan menunaikan zakat dan berwakaf.
Program tersebut juga turut mendidik masyarakat untuk lebih cakna akan keperluan asnaf yang semakin meningkat.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Hakim Amir Osman berkata, pihaknya amat berterima kasih dan menghargai pembayar zakat yang telah menunaikan rukun Islam keempat itu di PPZ-MAIWP sepanjang tahun 2024.
“Pada hari ini seramai 46 pembayar zakat dan wakaf diraikan sebagai pemenang utama bagi setiap kempen yang diadakan. Tahniah diucapkan kepada semua pembayar yang telah menunaikan kewajipan berzakat dan ibadah wakaf di PPZ-MAIWP.
“Tanpa sokongan dan keprihatinan pembayar zakat mungkin sukar untuk PPZ-MAIWP mencapai kutipan zakat yang ditetapkan.
“Justeru itu, saya ingin mengucapkan jutaan tahniah kepada tuan-tuan dan puan-puan kerana telah menjadi sebahagian daripada kebahagiaan asnaf,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Operasi PPZ-MAIWP, Mohammed Hassan; Pengasas MC Corporate Consultants Sdn Bhd Shakib Samsudin dan Pengarah Urusan Merchant Nine Sdn Bhd, Nik Mohd Haniff Nik Hamid.
Dalam majlis yang sama, PPZ-MAIWP turut menyampaikan Anugerah Pembayar Setia kepada lima pembayar zakat yang telah menunaikan zakat sejak tahun 1991 sehingga kini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
