[VIDEO] Wakil kerajaan, Mas Ermieyati bertikam lidah dewan tak cukup korum

A
A
A

KUALA LUMPUR - Persidangan Dewan Rakyat sesi petang kecoh seketika apabila beberapa wakil rakyat kerajaan bertikam lidah dengan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Kekecohan bermula apabila Mas Ermieyati yang juga wakil pembangkang tidak mahu memulakan ucapan perbahasan bagi Usul Menjunjung Kasih Atas Titah Diraja Yang Di-Pertuan Agong kerana bilangan ahli Parlimen yang hadir didapati tidak cukup korum.

Beliau kemudian merujuk kepada Peraturan 13(1) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat - Cukupbilang bagi Majlis Mesyuarat dan Jawatankuasa sebuah-buah Majlis Mesyuarat hendaklah mengandungi 26 orang ahli dengan tidak termasuk pengerusi.

Kenyataan Mas Ermieyati kemudiannya disambut oleh Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan).

Mohd Shahar (kiri) dan Bung Moktar bangun mempertikaikan tindakan Mas Ermieyati.
Mohd Shahar (kiri) dan Bung Moktar bangun mempertikaikan tindakan Mas Ermieyati.

“Memang tiada orang sebab wakil YB dua orang hilang. Korum dalam dewan ini (sepatutnya) antara kerajaan dan pembangkang pun dikira,” katanya.

Susulan itu, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Alice Lau meminta setiausaha dewan membunyikan loceng.

Tidak berpuas hati dengan tindakan Mas Ermieyati, RSN Rayer (PH-Jelutong) menegaskan bahawa bilangan ahli Parlimen di dewan mencukupi.

Artikel Berkaitan:

“Cukup bilang. Kami (ahli Parlimen kerajaan) ada mesyuarat jawatankuasa yang baru selesai. Tak perlu bangkitkan peraturan, kami hadir,” tegasnya.

Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) turut bangun dan menyatakan bahawa bilangan yang hadir kurang kerana ahli Parlimen perlu menghadiri taklimat.

“Saya tak faham kenapa bangkitkan isu ini. Kedua-dua belah pihak ada taklimat,” jelasnya.

Mas Ermieyati kemudian cuba menenangkan wakil-wakil rakyat kerajaan yang terlibat dan memaklumkan tindakannya disebabkan hanya terdapat 10 orang wakil rakyat berada di dewan sewaktu beliau ingin berbahas.

RSN Rayer sekali lagi menegur Ahli Parlimen Masjid Tanah itu dan bertanyakan kehadiran Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin di dewan.

Pertikaman lidah antara wakil-wakil rakyat terlibat kemudiannya berterusan selama beberapa minit menyebabkan Alice meminta bentara membuat kiraan sekali lagi dan meneruskan sesi perbahasan selepas korum mencukupi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!