Tertekan pedal minyak, SUV hampir jatuh rempuh tembok parkir tingkat 3 hospital

SEPANG - Tertekan pedal minyak dan hilang kawalan menjadi punca sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda WR-V merempuh tembok parkir bertingkat di Pusat Jantung Hospital Sultan Idris Shah, Serdang di sini dan hampir terjatuh pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, laporan diterima pihaknya daripada pemandu SUV itu iaitu lelaki berusia 39 tahun.
Katanya, dalam kejadian di tingkat 3B kira-kira jam 1.15 tengah hari, kemalangan itu menyebabkan tembok pecah dan serpihan batu terkena sebuah Perodua Avanza yang diparkir di bawah.
"Pemandu Honda WR-V itu bagaimanapun tidak mengalami kecederaan.
"Pemandu itu memaklumkan tiada unsur sabotaj dan kemalangan adalah atas kecuaian dirinya sendiri kerana tertekan padel minyak secara tidak sengaja dan hilang kawalan sebelum merempuh tembok di aras 3B itu," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Tambahnya, polis menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi atau berkongsi berita tidak benar yang boleh membawa kegusaran awam.
Kejadian itu dilaporkan tular di media sosial menerusi beberapa gambar dan rakaman video.
Berdasarkan paparan itu kelihatan sebahagian bahagian badan dan tayar hadapan kenderaan jenis Honda WRV itu sudah terkeluar dari bangunan terbabit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
