Peguam Negara tiada kuasa, kata Muhyiddin

Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin
A
A
A

SHAH ALAM - Peguam Negara tidak mempunyai apa-apa kuasa di bawah undang-undang untuk mencampuri urusan yang berada di bawah kuasa Menteri Dalam Negeri, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut beliau, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mempunyai asas kukuh mengekalkan penyenaraian Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) sebagai kumpulan pengganas berdasarkan maklumat terkini daripada pihak berkuasa.

Katanya, kumpulan itu dipercayai masih mempunyai ideologi yang boleh menimbulkan ancaman terhadap ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Menurutnya, ia menjadi tanggungjawab pihak berkuasa untuk mengambil tindakan mengikut saluran undang-undang bagi membendung sebarang bentuk penyebaran ideologi dan kegiatan yang berkaitan dengan kumpulan ini.

“Peguam Negara juga turut menggesa saya selaku Menteri Dalam Negeri supaya mengkaji semula kedudukan LTTE sebagai kumpulan pengganas.

“Adalah ditegaskan bahawa menurut Seksyen 668 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001, Menteri Dalam Negeri berkuasa untuk menyenaraikan individu atau kumpulan yang terbabit dalam kegiatan keganasan sebagai Entiti Yang Ditentukan (specified entity),” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: LTTE: 28 hujah AG batal prosiding jenayah 12 individu

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas terhadap tindakan Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas, memberhentikan prosiding undang-undang terhadap 12 lelaki warga tempatan yang berdepan tuduhan menyokong kumpulan pengganas LTTE semalam.

Muhyiddin berkata, penyenaraian entiti berkenaan adalah berdasarkan maklumat perisikan dan keselamatan terkini yang diterima daripada pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia dan lain-lain agensi kawal selia atau pengawasan yang berkaitan.

Artikel Berkaitan:

“Kerajaan Malaysia menyenaraikan LTTE sebagai kumpulan pengganas sejak 12 November 2014.

“Saya ingin menegaskan bahawa penyenaraian LTTE sebagai kumpulan pengganas adalah tertakluk kepada kuasa Menteri Dalam Negeri yang diperuntukkan oleh undang-undang," katanya.

Katanya, untuk rekod, selain Malaysia, beberapa negara lain turut mengisytiharkan dan mengekalkan LTTE sebagai kumpulan pengganas dalam senarai negara masing-masing.

Negara-negara tersebut adalah India, Kanada, Amerika Syarikat dan United Kingdom.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Keputusan Peguam Negara melangkaui Tun M, Muhyiddin'