Sesi dialog awam bersama veteran ATM akan diadakan - PAT

KUALA LUMPUR - Sesi dialog awam akan diadakan bersama veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk berbincang berkaitan isu semasa dan mendengar tuntutan golongan berkenaan.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar berkata, dialog awam itu akan menjadi platform untuk ATM memberi penjelasan berkenaan inisiatif semasa Kementerian Pertahanan untuk membantu golongan tersebut.
“Dalam sesi ini kita akan mendengar apa yang ingin diutarakan khususnya berkaitan isu pencen serta faedah perubatan, selain itu ATM akan memaklumkan inisiatif terkini yang ada.
“Mungkin selama ini pendekatan secara terus itu tidak berlaku menyebabkan terlalu banyak rungutan seolah-olah kita tidak peka dengan rintihan yang disuarakan veteran," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Ucaptama Panglima Angkatan Tentera di Auditorium Wisma Pertahanan, di sini, pada Selasa.
Mohd Nizam berkata, sesi dialog awam itu memudahkan usaha penerangan diberikan secara langsung kepada golongan veteran ATM.
“Sesi dialog awam ini adalah untuk menjelaskan kedudukan sekarang serta perbandingan apa yang berlaku kerana kebanyakan yang disuarakan mungkin boleh dijawab terus," katanya.
Mohd Nizam berkata, beliau akan mengarahkan Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM untuk melaksanakan sesi dialog awam berkenaan.
Terdahulu dalam ucapannya, Mohd Nizam memberi jaminan ATM sentiasa membantu dan berusaha melaksanakan yang terbaik untuk para veterannya.
“Tanpa mereka, kita tidak akan mengecapi apa yang kita miliki hari ini dan sememangnya sewajibnya veteran ATM terus dihargai," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
