PKR Terengganu mahu tarikh peralihan kuasa diputuskan

Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail
Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Terengganu menyarankan agar satu ketetapan tarikh peralihan kuasa diputuskan secara musyawarah di kalangan pemimpin utama Pakatan Harapan (PH) dan dimuktamadkan dalam mesyuarat Majlis Presiden.

Pengerusinya, Azan Ismail berkata, keputusan tersebut penting supaya semangat reformasi dan dokongan rakyat terhadap PKR sebelum serta semasa Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) dapat dipertahankan.

Menurutnya, dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Negeri di pejabat PKR Terengganu selama dua jam semalam, pihaknya sebulat suara membuat ketetapan bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ketujuh.

“Kita juga membuat ketetapan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri kelapan dan peralihan kuasa hendaklah berasaskan ketetapan yang telah dipersetujui bersama pada 6 Januari 2018,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini beberapa pihak mendesak Majlis Presiden PH memutuskan tarikh peralihan kuasa Perdana Menteri bagi mengelakkan perkara itu terus jadi spekulasi yang menjejaskan kestabilan politik negara.

Media sebelum ini melaporkan Dr Mahathir telah beberapa mengulangi pendirian untuk melepaskan jawatan seperti yang dijanjikan dalam konsesus PH sebelum PRU14.

Lewat malam semalam, Dr Mahathir mengumumkan bahawa Majlis Presiden PH sebulat suara bersetuju membenarkan beliau membuat keputusan bagi peralihan jawatan Perdana Menteri.

Bagaimanapun difahamkan berlaku ketegangan dalam Mesyuarat Majlis Presiden PH di Yayasan Kepimpinan Perdana apabila Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengugut keluar daripada pakatan tersebut jika Parti Amanah Negara (Amanah), DAP dan PKR terus mendesak Dr Mahathir.

Artikel Berkaitan: