Saranan Agong tepat, Malaysia dalam era perpaduan

SHAH ALAM - Saranan dan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-15 pada Isnin sangat tepat memandangkan Malaysia dalam era Perpaduan.
Ahli Dewan Negara, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, pada era ini semua pihak perlu berganding bahu menjaga Malaysia dan mengharapkan peranan rantau serta global lebih bermakna.
Menurutnya, dalam titah yang ringkas dan padat itu, Sultan Ibrahim telah menyentuh semua perkara.
"Junjung kasih Tuanku atas titah Tuanku di kedua dewan yang berlangsung pagi tadi. Ringkas dalam Tuanku melihat reformasi Parlimen, ekonomi, kedaulatan negara dan isu serantau.
"Padat kerana ia membawa mesej menghormati Parlimen. Ahli Parlimen dinasihatkan memelihara adab-adab perbahasan, elakkan fitnah, tidak berpolitik sehingga mengabaikan tugas dan berperanan sebagai ahli-ahli yang berhormat," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Dalam Titah Diraja itu, Seri Paduka Baginda menekankan beberapa isu utama yang perlu mendapat perhatian serius daripada kerajaan dan semua pihak yang terlibat, termasuk kebajikan rakyat, pembangunan infrastruktur, digitalisasi, serta peranan institusi Parlimen.
Tambah Dr Mujahid, Seri Paduka Baginda juga menyebut tentang perlunya subsidi rakyat sampai tepat pada sasarannya.
"Tuanku juga menghargai kerajaan hari ini yang berjaya menarik pelaburan untuk tingkatkan produktiviti ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
"Titah Tuanku turut menyinggung peranan Malaysia di rantau ASEAN yang kini menjadi Pengerusi di rantau ini selain menyentuh isu peperangan di Gaza dan harapan peranan Malaysia menamatkan peperangan di Palestin," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

