MP perlu jadikan titah Agong sebagai pedoman laksana tanggungjawab, amanah - Johari

SHAH ALAM - Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul meminta kesemua ahli Parlimen untuk menjadikan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim sebagai pedoman dalam menjalankan tanggungjawab penuh amanah demi rakyat dan negara.
Beliau berkata, titah itu merupakan satu peringatan yang amat bermakna agar ahli Parlimen terus mengamalkan budaya politik matang, beretika dan bertanggungjawab dalam menjalankan tugas selaku wakil rakyat.
Menurut Johari, pihaknya turut menyambut baik titah baginda bahawa Parlimen perlu menjadi platform demokrasi yang memperjuangkan kepentingan rakyat.
“Sebagai institusi tertinggi demokrasi negara, Parlimen mesti menjadi medan perbahasan yang sihat dan konstruktif.
“Bukannya medan pertelingkahan yang memecah-belahkan rakyat.
“Dengan itu, semua pihak mesti menghentikan politik perpecahan, fokus kepada kesejahteraan rakyat dan menggunakan suara dewan yang didengari sebagai platform demokrasi,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Sultan Ibrahim berkenan berangkat merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 lalu menyampaikan titah diraja.
Persidangan Dewan Rakyat yang berlangsung selama 18 hari turut menyaksikan ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perbahasan usul selama tujuh hari bermula Isnin.
Sidang Parlimen kemudiannya diteruskan dengan sesi jawapan oleh menteri berkaitan dari 19 hingga 25 Februari dan persidangan Dewan Negara pula bakal berlangsung selama 13 hari bermula 3 Mac depan.
Johari berpandangan, ahli Parlimen perlu memainkan peranan aktif dalam diplomasi serantau bagi mengukuhkan kedudukan negara di peringkat antarabangsa memandangkan Sultan Ibrahim menyentuh perihal Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini.
“Sebagai Pengerusi Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA), Parlimen Malaysia akan menerajui agenda kerjasama serantau yang lebih progresif dan memastikan suara Parlimen ASEAN terus relevan dalam menangani cabaran global.
“Diplomasi Parlimen perlu digerakkan secara aktif untuk mengukuhkan hubungan serantau dan mempromosikan kestabilan, keamanan serta kemakmuran ASEAN,“ ujarnya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

