Dua sahabat maut rempuh lori tangki

PORT DICKSON - Dua sahabat maut selepas kereta dinaiki merempuh sebuah lori tangki di Kilometer 27.2 Lebuhraya Seremban-Port Dickson arah ke Port Dickson pada Isnin.
Kejadian lebih kurang jam 6.20 pagi itu menyebabkan pemandu lelaki berusia 21 dan penumpang belakang berusia 20 tahun maut akibat parah.
Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Superintenden, Mohamad Mustafah Hussin berkata, siasatan mendapati, kemalangan berlaku apabila kereta Perodua Myvi dipandu telah melanggar bahagian belakang sebelah kanan lori tangki dari arah sama.

"Kejadian itu menyebabkan Perodua Myvi berpusing lalu terbabas ke sebelah kiri jalan.
"Akibatnya pemandu dan penumpang belakang parah pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, penumpang hadapan lelaki berusia 26 tahun hanya cedera ringan dan mendapat rawatan di Hospital Port Dickson.
Tambahnya, pemandu lori tangki lelaki berusia 57 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Mohd Zulhelmi Azman ditalian 016-9984806 atau boleh terus ke balai polis berhampiran.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

